ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak terkejut dengan keadaan suram Liga Malaysia (Liga M) apabila beberapa pasukan menghadapi masalah kewangan yang teruk.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu, beliau sudah mengutarakan perkara itu sejak beberapa tahun lalu sebelum akhirnya menjadi kenyataan sehingga menjejaskan banyak pihak.
“Bola sepak semua negeri agak suram dengan kenaikan kos yang tinggi. Saya sejak awal sudah sebut kita tak mampu ikut standard yang diset pihak tertentu dan akhir-akhir ini kita tengok semua negeri mengalami nasib sama sebab kita ikut setting yang bukan atas kemampuan kita.
“Kita sudah pakai baju bukan saiz kita, ukur baju di badan orang lain. Akhirnya kita tak boleh pakai baju itu, yang jadi mangsa para pemain, pasukan, peminat dan kesalahan diletak kepada Sanusi.
“Saya kata dah benda ini bertahun-tahun dulu. Jadi saya harap ini pengajaran kepada kita semua,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kedah di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, beliau juga tidak menyalahkan kerajaan Perak ekoran nasib malang menimpa Perak FC yang terpaksa berundur daripada Liga M.
“Bukan tanggungjawab mereka, sama dengan kita bukan tanggungjawab kerajaan negeri. Tapi di Kedah orang salahkan saya. Di Perak orang tidak salahkan Datuk Seri Saarani Mohamad. Kalau Kedah, saya bertanggungjawab tapi negeri lain menteri besar selamat, pelik betul,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya cadangan agar persatuan bola sepak (FA) dan kelab bola sepak (FC) bergabung untuk menyelamatkan pasukan negeri, Muhammad Sanusi tidak nampak perkara itu boleh dilakukan.
Ini kerana katanya, selagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpegang kepada peraturan sedia ada, amat mustahil untuk menyelamatkan pasukan walaupun kedua-dua pihak itu bekerjasama.
“Macam KFA membabitkan diri dalam pembangunan bakat baharu dan kita ada piala-piala tertentu yang dikendalikan. Pasukan utama, presiden, belia di bawah swasta. Selagi FAM masih berpegang kepada peraturan itu, keadaan bola sepak akan jadi begini juga. Jadi FAM pun kena ukur baju di badan sendiri,” katanya.
Beliau memaklumkan, kerajaan negeri telah merancang untuk mempertingkatkan pembangunan sukan termasuk bola sepak yang disasarkan sehingga 2035 melalui satu peruntukan khusus yang akan disediakan.
Katanya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Exco termasuk kertas cadangan yang telah dibentangkan untuk penelitian kerajaan negeri. – UTUSAN