Belahan jiwa dan emosi pertaruhan For Revenge - Utusan Malaysia

Belahan jiwa dan emosi pertaruhan For Revenge

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ibu negara bakal menjadi saksi satu malam yang penuh luahan perasaan, nostalgia dan emosi apabila band emo legenda dari Indonesia, For Revenge bakal mengadakan konsert eksklusif mereka bertemakan ‘For Revenge Ada Selamanya Live in KL’ di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Mei akan datang.

Konsert yang dianjurkan oleh Rockstage Entertainment ini dijangka menjadi medan pertemuan bermakna buat mereka dan peminat di Malaysia, sekaligus menjanjikan sebuah pengalaman berharga dalam membawa penonton menyelami emosi perasaan terpendam melalui bait melodi yang diperdendangkan.

Bagi peminat yang mencari ruang untuk melepaskan kesedihan atau meluahkan rasa hati, ini adalah konsert yang selayaknya untuk ditonton, malah akan menjadi satu momen bersejarah yang mungkin tidak akan dilupakan.

Menurut Pengarah Urusan Rockstage Entertainment, Talib Othman, konsert ini dianggap sebagai terapi emosi bagi para peminat. Dengan meletakkan durasi sekitar 120 minit, penonton akan dibawa masuk ke dalam ruang di mana mereka boleh menyelami serta melepaskan perasaan yang terpendam.

“For Revenge bukan hanya sekadar band rock. Mereka mewakili suara insan yang pernah terluka, kecewa serta yang masih mencari makna dalam setiap helaan nafas.

“Bagi mereka yang sudah biasa menyaksikan persembahan For Revenge, konsert ini akan menjadi edisi eksklusif yang memberikan lebih dari sekadar muzik. Setiap karya terutamanya dari Serana hingga Untuk Siapa?, pasti akan membawa penonton kembali ke dalam dunia perasaan mereka sendiri,” katanya.

Konsert ini mencipta ruang kepada penonton untuk menelusuri setiap perasaan yang terpendam. Bukan sekadar cinta dan kehilangan malah fasa kekecewaan. Lagu-lagu yang dimuatkan membawa pengisian emosi yang begitu kuat sekaligus mampu membangkitkan memori lama.

Menurut Talib lagi pengisian kali ini dibuat lebih mendalam dengan menyusun cipta setiap lirik, note muzik setara dengan dunia emosi yang membuai perasaan serta detiknya.

“Penonton akan melayari perasaan lebih mendalam bagi setiap lagu yang dimainkan di samping mencipta momen indah bersama kumpulan. Setiap melodi dan lirik akan memberikan ruang untuk mereka melepaskan apa yang terbuku dalam hati,” katanya.

Sejak penubuhan mereka pada tahun 2006 di Bandung, Indonesia, For Revenge telah menjadi suara kepada generasi yang mencari makna dalam kesakitan dan keindahan. Dibarisi oleh Boniex Noer (vokal), Arief Ismail (gitar), Izha Muhammad (bass), dan Ari Pribadi (dram), mereka berjaya mengubah luka menjadi seni dan air mata menjadi melodi.

Kejayaan mereka menyerlah menerusi album Heartbreak Celebration – Round 1 (2022) yang menjadi bukti kematangan dalam mengolah emosi menjadi karya yang universal. Setiap lagu adalah cerita dan melodinya adalah pelukan rasa yang istimewa.

Tidak sekadar menyentuh perasaan tetapi meruntun jiwa. For Revenge akan membawa anda mengembara menghidupkan setiap emosi yang terkubur, mengingatkan kita bahawa dalam setiap kesedihan, pastinya ada kekuatan untuk bertahan.

For Revenge Ada Selamanya Live in KL adalah malam yang akan dikenang oleh setiap peminat. Tidak sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah perjalanan yang bakal membawa penonton ke dunia yang penuh dengan rasa dan kenangan.

“Setakat ini sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Malah tiket yang diperuntukkan hanya berbaki 30 peratus. jadi saya ingin menyeru peminat untuk segera membeli tiket bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang berharga ini.

“Konsert ini akan memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan persembahan berterusan selama dua jam tanpa henti. Ia adalah pengalaman yang hanya dapat dinikmati oleh mereka yang benar-benar menghargai karya muzik For Revenge,” katanya

Tiket untuk konsert ini boleh didapati dengan harga RM200 untuk CAT 1, RM270 untuk CAT 3, RM310 untuk CAT 2, dan RM430 untuk kategori BOX. Pembelian tiket boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman web rasmi di www.myticketempire.com/forrevengekl.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya