PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan yang boleh menjejaskan kredibiliti fasiliti kesihatan di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan terus mempertingkat kawalan prosedur operasi standard (SOP) di semua fasiliti kesihatan.
“Kita tidak boleh ambil mudah. KKM komited mempertingkat SOP keselamatan di semua fasiliti,” katanya selepas merasmikan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia (WoPAD) Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan tular kononnya sepasang bayi kembar hilang selepas dilarikan seorang ‘doktor palsu’ di Hospital Kuala Lipis.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan berlaku kes kehilangan bayi kembar sebagaimana artikel bertajuk ‘Sepasang Bayi Kembar Hilang Dilarikan oleh ‘Doktor Palsu’ di Hospital Kuala Lipis’ yang tular di media sosial.
Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Ismail Man dilaporkan berkata, kejadian itu tidak berlaku dan dianggap fitnah.
Artikel yang tular itu mendakwa, sepasang bayi kembar yang dirawat selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis dilaporkan hilang dan dilarikan oleh seorang doktor palsu dikenali sebagai ‘Dr Amalina Husna’.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri Pahang memaklumkan, siasatan awal sudah dilaksanakan dan mendapati tiada bayi kembar seperti yang didakwa menerima rawatan di wad kanak-kanak Hospital Lipis. – UTUSAN