PETALING JAYA: Seorang lelaki Palestin bersama anak kecilnya syahid selepas menjadi mangsa serangan udara rejim Zionis yang menyasarkan kawasan penempatan awam berhampiran Persimpangan Sofa, timur Rafah, selatan Semenanjung Gaza, Jumaat lalu.
Mangsa, Ayman Abdel Karim Madhiouf Shaat dan anak perempuannya antara ratusan korban baharu yang terbunuh dalam pengeboman kejam tanpa henti oleh tentera Israel ke atas khemah-khemah pelarian dan kawasan kediaman awam.
Perkara itu disahkan rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron yang suaminya merupakan sepupu kepada dua beranak tersebut.
Menurut beliau yang kini berada di Emiriyah Arab Bersatu, mayat dua beranak itu kini berada di Hospital Eropah, Gaza.
“Kami hanya mampu melihat gambar tubuh mereka yang kaku dan tidak bernyawa yang dikirimkan oleh keluarga di sana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau turut berkongsi keadaan di Gaza semakin meruncing, dengan lebih ramai penduduk tidak mempunyai tempat berteduh dan tiada akses kepada makanan mahupun bekalan air.
“Ramai tidur di tepi jalan, bawah runtuhan. Tiada tempat perlindungan lagi yang tinggal. Hari demi hari, kami terima berita kematian ahli keluarga, jiran, dan rakan mereka,” katanya.
Menurut statistik terkini Pejabat Media Kerajaan Gaza, setakat 20 Januari lalu, sebanyak 92 peratus atau 436,000 unit kediaman di Gaza telah musnah atau mengalami kerosakan teruk manakala 80 peratus premis perniagaan juga tidak lagi beroperasi selepas turut menjadi sasaran serangan.
Jumlah korban kini melebihi 61,700 orang dengan ribuan lagi masih hilang dan dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.
“Keadaan semakin hancur. Tiada elektrik, tiada air, tiada ubat-ubatan. Tapi semangat rakyat Gaza luar biasa. Mereka terus bertahan walau nyawa di hujung tanduk,” kata Nurul Ain. – UTUSAN










