Banjir Taman Sri Muda: Sistem pam pulih, berfungsi sejak minggu lalu

Banjir Taman Sri Muda: Sistem pam pulih, berfungsi sejak minggu lalu

AMIRUDIN Shari menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama diantara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle Malaysia sempena pelancaran Program SELkitar di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sistem pam kawalan banjir di Taman Sri Muda di sini kembali pulih dan berfungsi sejak minggu lalu sekali gus mengelak banjir teruk selepas banjir melanda kawasan itu pada 11 April lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, masalah rumah pam itu sebelum ini berlaku kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak dapat menyalurkan bekalan elektrik atas faktor tertentu.

Jelas beliau, perkara itu bagaimanapun diselesaikan pada Rabu dan Khamis minggu lalu menerusi penyaluran bekalan bagi memastikan sistem pam berfungsi sepenuhnya.

“Alhamdulillah, pam berkenaan kini sudah berfungsi semula selepas diselesaikan oleh pihak TNB.

“Kita melihat tiada berlaku banjir (terbaru) di Taman Sri Muda biarpun hujan lebat selama dua jam (minimum) di kawasan berkenaan Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle Malaysia bagi program SELKitar di sini, hari ini.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan lebih 1,500 penduduk berhimpun secara aman bagi mendesak penyelesaian isu banjir di Taman Sri Muda, Kota Kemuning dan Batu 8 di sini, yang kerap melanda kawasan itu sejak banjir besar 2021.

Amirudin sebelum ini memaklumkan beberapa sistem pam kawalan banjir di Selangor dikesan gagal berfungsi dan menjadi punca kelewatan usaha mengawal situasi banjir di lokaliti kritikal.

Perkara itu dikenal pasti selepas bekalan elektrik daripada TNB belum disambungkan sepenuhnya di kawasan banjir sekali gus menjadi punca kelewatan dalam usaha mengawal air banjir terutama di Taman Sri Muda yang kerap terjejas setiap kali hujan lebat.

Mengulas lanjut, kata Amirudin, pihaknya turut memfokuskan isu lain bagi menangani isu banjir itu seperti fungsi kunci air dan perparitan.

“Kita turut melihat semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mereka tidak culas mengemas kini maklumat atau menyelenggara aset dan longkang. Isu di Selangor hanya melibatkan banjir kilat walaupun kesannya masih buruk berbanding negeri lain yang banjirnya termenung selama berhari hari,” ujarnya.

Tambah beliau, mesyuarat koordinasi khas semalam turut membincangkan isu itu untuk dibentangkan sebelum dilaporkan semula kepada penduduk terlibat.

“Langkah-langkah susulan berikutnya kelak sudah ada termasuk pasukan khas yang telah diwujudkan oleh kerajaan negeri. Saya faham mungkin trauma mereka (penduduk) tinggi dan kita pernah berdepan dengan pelbagai isu termasuk banjir,” katanya.

Pada 11 April lalu, lebih 1,000 mangsa terjejas akibat banjir di sekitar daerah Petaling dan Klang dengan lebih 200 keluarga dilapor berpindah ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lokasi terjejas teruk antaranya melibatkan kawasan Taman Sri Muda, Padang Jawa dan Meru, Klang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN