JAKARTA: Pasangan pelakon Indonesia, Baim Wong dan Paula Verhoeven sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan, pada Rabu.
Setelah enam bulan melalui proses perbicaraan, kompas melaporkan mahkamah telah menetapkan hak penjagaan dua anak mereka diberi sama rata kepada Baim dan Paula.
Difahamkan, pasangan itu turut diperintahkan oleh mahkamah untuk bergilir-gilir menjaga kedua-dua anak lelaki mereka selama dua minggu sekali.
Terdahulu, Baim memfailkan cerai terhadap isterinya di Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan, Indonesia, pada 7 Oktober tahun lalu.
Kata pengarah filem Lembayung itu, dia nekad untuk memfailkan perceraian selepas mendakwa isterinya berlaku curang terhadapnya.
Bagaimanapun Paula menafikan dakwaan itu dan menegaskan tidak pernah berlaku curang terhadap aktor berkenaan.
Susulan itu, Baim turut menepis dakwaan bahawa dia memiliki Narcissistic Personality Disorder (NPD) seperti yang diperkatakan warganet selepas Paula memuat naik perkongsian mengenai penyakit mental itu di media sosial.
Baim turut membuktikan perkara itu dengan menunjukan hasil laporan kesihatan dan ujian mental yang dilaluinya di sebuah hospital terkemuka di Pulau Pinang.
Untuk rekod Baim dan Paula mendirikan rumah tangga pada November 2018 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Kiano, 3, dan Kenzo yang kini berusia dua tahun.