ATM tubuhkan MPSE hadapi ancaman bukan kinetik

ATM tubuhkan MPSE hadapi ancaman bukan kinetik

MOHD. Nizam Jaffar berucap pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima ATM Ke-23 di Kem Segenting, Port Dickson, hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan Markas Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik (MPSE) seiring dengan kemunculan bentuk ancaman bukan kinetik bersifat disruptif serta sukar dikesan.

Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar berkata, langkah berkenaan adalah bagi memperkukuhkan pertahanan dalam domain siber dan elektronik yang melangkaui dimensi tradisional darat, laut dan udara.

Menurutnya domain tersebut merupakan salah satu penumpuan dalam teras falsafah pertama pemerintahnya membabitkan kesiagaan operasi.

“Dalam konteks ini, aspek kesiagaan pula tidak boleh hanya bersifat rutin atau retorik semata-mata. 

“Saya menyeru agar semua panglima perkhidmatan memberikan komitmen padu dalam merealisasikan pembangunan MPSE ini sebagai sebahagian daripada struktur pertahanan negara yang lebih menyeluruh,” katanya ketika menyampaikan Perintah Ulung Panglima ATM ke-23, di Kem Segenting, di sini, hari ini.

Ancaman bukan kinetik sering dirujuk sebagai serangan menggunakan teknologi seperti siber dan gelombang radio yang mengganggu sistem komunikasi dan rangkaian komputer.

Selain teras kesiapsiagaan operasi yang ditekankan, Mohd. Nizam berkata, tiga lagi teras falsafah pemerintahan diketengahkan iaitu pelaburan dan pembangunan modal insan holistik;  kelestarian dan kesejahteraan kehidupan warga ATM serta memperkukuhkan diplomasi pertahanan dan hubungan ketenteraan.

Jelas beliau, pemerkasaan Markas Pemerintahan Pendidikan, Latihan dan Doktrin ATM juga perlu diberi peranan lebih agresif.

“ATM mesti kekal tangkas dan bersedia beradaptasi secara berterusan. Ia hendaklah dilaksanakan berasaskan pendekatan operate and sustain, sekali gus menjadi landasan kepada ketiga-tiga perkhidmatan dalam merangka serta melaksanakan latihan dan doktrin masing-masing.

“Malah, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional perlu terus diperkasakan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pengajian dan penyelidikan strategik,” katanya lagi.

Menurut beliau, keupayaan pusat pengajian tersebut untuk melahirkan pemikir strategik serta perancang pertahanan yang bersedia menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global mesti terus dipertingkatkan.

Sementara itu, Mohd. Nizam berkata, empat falsafah pemerintahan yang ditekankannya akan digunapakai sepanjang kepimpinan dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan tempur pasukan ATM.

Katanya, perintah berkenaan digarap berlandaskan falsafah pemerintahan beliau yang terbina daripada pengalaman peribadi selama empat dekad dalam perkhidmatan serta berpandukan prinsip-prinsip yang mendasari perintah ulung terdahulu.  

Beliau ilantik sebagai Panglima ATM yang ke-23 pada 31 Januari lalu bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman yang bersara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN