KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan bersama barisan kepemimpinan negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, sempena lawatan beliau ke Kelantan, hari ini.
Anwar yang berbaju Melayu berwarna merah jambu tiba kira-kira pukul 8.40 pagi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan disambut Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Mesyuarat yang diadakan secara tertutup itu berlangsung kira-kira satu jam.
Turut menyertai mesyuarat itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal; bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan barisan kepemimpinan negeri turut menyertai mesyuarat berkenaan.
Selepas itu, Anwar dijadualkan menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok dekat sini. – UTUSAN