PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Kangar hari ini bagi mempersembahkan makluman berhubung perancangan pembangunan ekonomi negeri tersebut.
Menurut Anwar, selain membentangkan perkembangan terkini berkaitan perancangan ekonomi negeri, pertemuan itu turut menjadi medan bertukar pandangan mengenai hal ehwal kesejahteraan rakyat Perlis yang menjadi tumpuan khusus Kerajaan Persekutuan.
“Saya menyembah maklum perkembangan terkini berhubung perancangan pembangunan ekonomi negeri Perlis, di samping bertukar pandangan terkait hal ehwal kesejahteraan rakyat di negeri ini yang menjadi tumpuan khusus Kerajaan Persekutuan.
“Penghargaan setingginya atas perkenan Tuanku menerima patik menghadap. Mendoakan keafiatan berpanjangan buat Tuanku, insya-Allah,” katanya di akaun Facebook miliknya hari ini.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar tengah hari tadi, Anwar terus berangkat ke Kangar untuk menghadap Raja Perlis sebelum meneruskan program rasmi sepanjang hari di negeri tersebut.