Anwar mahu projek tebatan banjir Kelantan disegera

Anwar mahu projek tebatan banjir Kelantan disegera

ANWAR Ibrahim semasa berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 di Pantai Irama, Bachok, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menekankan kepentingan pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri ini disegerakan mengikut fasa ditetapkan meskipun menelan belanja cukup tinggi.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah tidak sanggup melihat penderitaan rakyat setiap tahun akibat kegagalan kerajaan yang silih berganti menyiapkan projek tersebut.

“Sebab itu saya minta PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan melihat beberapa kaedah baharu untuk mempercepat projek tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana memberi kerjasama penuh dalam hal ini dengan menyegerakan proses pengambilan tanah,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Pantai Irama, di sini hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa kerjasama antara kerajaan Pusat dan negeri perlu dimantapkan demi mengangkat martabat negeri ini dan negara sekali gus menyelesaikan masalah-masalah rakyat yang dibelenggu kemiskinan, banjir dan lain-lain.

Katanya, semua itu bukan masalah politik sebaliknya dilihat sebagai masalah negara dan sebarang selisih faham perlu diperbetul sekali gus mengelakkan fitnah demi kepentingan sesebuah parti politik.

“Jangan ‘bengkeng-bengkeng’. Tak ada makna. Kito gocoh nok buat gapo dio? (kita bergaduh hendak buat apa?). Kita kena bersahabat dan saya berterima kasih atas persahabatan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan yang perlu diteruskan demi faedah kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN