KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Masjid Negara, di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri hadir pada pukul 1 petang bersama dengan barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Antaranya adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Turut hadir sama adalah Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Mengiringi sama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Abdullah meninggal dunia pada usia 86 tahun iaitu pada semalam di Institut Jantung Negara (IJN), di sini.
Doktor yang bertanggungjawab merawat Pak Lah di IJN memaklumkan bahawa Allahyarham mengalami masalah pernafasan lalu dimasukkan ke dalam wad sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
Difahamkan bahawa Pak Lah akan dikebumikan bersebelahan dengan makam Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn.
Allahyarham merupakan Perdana Menteri kelima yang berkhidmat dari tahun 2003 sehingga 2009 bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN