Angkat warisan seni budaya Melayu-Bugis, Rewang Eh Raya 2025 disambut meriah - Utusan Malaysia

Angkat warisan seni budaya Melayu-Bugis, Rewang Eh Raya 2025 disambut meriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Bertemakan Rumah Terbuka, acara Rewang Eh Raya 2025 anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia yang berlangsung di pusat beli-belah Summit USJ telah meraih sambutan luar biasa, pada Sabtu lalu.

Acara yang mengangkat warisan seni budaya Melayu dan Bugis juga berjaya mencatat kehadiran lebih 10,000 pengunjung apatah lagi apabila persembahan daripada penyanyi, Noraniza Idris menjadi penyeri acara.

Noraniza Idris yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia berkata, Rewang Eh Raya 2025 menjadi platform penting dalam memupuk semangat komuniti menerusi seni budaya lebih-lebih bersempena Tahun Melawat Selangor 2025.

“Apa yang kita lakukan ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi satu usaha untuk membentuk sahsiah dan memperkasa identiti budaya dalam diri anak-anak kita.

“Syukur Alhamdulillah, dengan sokongan padu daripada pihak penaja seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tourism Selangor, Agensi Pekerjaan Najah, Che Ani Premium, Promedia Broadcast serta Summit USJ, kita berjaya merealisasikan sebuah acara budaya berskala besar yang mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Pada acara tersebut, Noraniza yang lebih mesra disapa sebagai Ani juga berjaya mencuri perhatian pengunjung melalui persembahan memukau seperti Tarian Serampang Bugis, Tarian Jawa “Piye Kepriye” dan Tarian Ronggeng Selangor bersama Kumpulan Noraniza Idris Dance Academy (NIDA).

Bukan sekadar menghidupkan kembali tradisi rewang dalam suasana Hari Raya, program tersebut turut memperkenalkan kekayaan budaya Bugis Negeri Selangor kepada generasi muda melalui pendekatan interaktif dan mesra keluarga.

Seawal jam 9 pagi, suasana sudah gamat dengan gelak tawa kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna bertemakan “Eh, Warna-Warni Raya!” yang melibatkan penyertaan aktif daripada kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun.

Selain itu, Bengkel Santai Tarian Tradisional Zapin dan Ronggeng Selangor turut berlangsung dengan meriah, melibatkan lebih 300 peserta dari pelbagai peringkat umur yang berpeluang mendekati seni tari tradisional secara lebih santai dan menyeronokkan.

Menurut ratu Irama Malaysia itu, penglibatan kanak-kanak dan golongan muda dalam aktiviti seperti pertandingan mewarna dan bengkel tarian tradisional adalah antara kejayaan terbesar program ini.

“Kita mahu anak-anak ini bukan sahaja mengenali budaya mereka, malah berbangga dan berani mempertahankannya di masa hadapan.

“Saya percaya seni budaya tradisional bukan sekadar untuk dikenang, tetapi perlu terus hidup dan dibudayakan sepanjang masa.

“Insya-Allah, kita akan terus komited mengangkat warisan bangsa ini ke persada yang lebih tinggi,” katanya.

Pada Sabtu lalu, majlis perasmian acara itu disempurnakan dengan penuh adat, dimulakan dengan simbolik pemotongan pulut kuning dan diiringi sorakan konfeti, menyerikan lagi suasana sambutan yang penuh warna-warni.

Acara tersebut turut dihadiri penaung program, YM Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Al-Haj bersama para tetamu kehormat lain bagi menunjukkan sokongan padu terhadap usaha memartabatkan seni budaya warisan bangsa.

Lebih menarik lagi, para pengunjung turut disajikan dengan klip video pengenalan kepada gastronomi warisan Bugis sebelum acara perasmian bermula.

Malah, program tersebut telah meraih seramai lebih 6,000 peserta untuk menyertai aktiviti yang disediakan sekali gus membuktikan bahawa seni tradisional masih mendapat tempat istimewa di hati rakyat Malaysia.

Salah satu acara yang paling dinanti-nantikan dalam Rewang Eh Raya 2025 ialah Pertandingan Tarian Kreatif Eh Raya, yang melibatkan peserta dari lima negeri berentap untuk merebut hadiah utama bernilai sehingga RM3,000 bagi koreografi persembahan terbaik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN