KOTA BHARU: Anggota tentera yang terlibat dengan kes buli akan berdepan dua jenis hukuman iaitu peringkat Kementerian Pertahanan (Mindef) dan undang-undang negara.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melanggar batas-batas tersebut sehingga berlakunya buli.
“Walaupun ATM agak tegas dalam sesi latihan kerana ada modul yang perlu diikuti namun, Mindef tidak akan membenarkan buli berlaku. Kita (Mindef) dapat bezakan yang mana buli dan latihan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama di sini hari ini.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu memberitahu, walaupun kes buli agak terpencil namun pelbagai tindakan yang telah diambil oleh pihak kementerian ke atas pelaku.
Katanya, Mindef mempunyai jawatankuasa diperingkat dalaman yang akan membuat keputusan berkait dengan kes buli.
“Mindef sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan kes buli. Sebagai contoh di peringkat institusi pendidikan bawah Mindef iaitu Maktab Tentera Diraja.
“Di sana (Maktab Tentera Diraja) kita telah tambah bilangan warden, pengasingan antara belajar baharu dan lama. Bukan itu sahaja bilangan kamera televisyen tertutup (CCTV) turut ditambah,” ujarnya.
Adly berkata, jika unsur-unsur buli dikesan pihaknya akan terus memanggil pelajar terlibat untuk diberikan nasihat sebagai langkah pencegahan awal.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Seramai 12 pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan anggota lain-lain pangkat telah diberhentikan kerja oleh pasukan itu selepas terlibat dengan perbuatan buli.
Panglima TDM Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, ia melibatkan kesalahan yang dilakukan dalam tempoh lima tahun bermula 2019 lalu.-UTUSAN