SEPANG: Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan Pakej Umrah Khas Penutupan Musim dengan harga RM5,490 dengan para jemaah dapat menunaikan ibadat itu dalam suasana kurang sesak di Tanah Suci.
Ini berikutan tempoh itu adalah memasuki akhir musim sebelum bermulanya ibadah haji dengan sejumlah 566 jemaah yang mengikuti pakej berkenaan dapat menikmati pelbagai keistimewaan.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, pakej itu dibuat selepas pihaknya membuat keputusan membuka semula pakej umrah menggunakan visa pelancong kepada jemaah.
Katanya, sebelum ini Arab Saudi mengeluarkan arahan jemaah yang menggunakan visa umrah perlu masuk ke negara itu sebelum 13 April dan keluar selewatnya pada 29 April ini.
“Bagaimanapun, bagi jemaah yang menggunakan visa pelancong, kerajaan Arab Saudi masih lagi memberi kelonggaran untuk mereka masuk bagi menunaikan umrah.
“Pakej umrah itu adalah kerjasama bersama AMAL by Malaysia Airlines dengan penerbangan ke Tanah Suci disediakan pada 19 dan 20 April,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Kumpulan Umrah Terakhir Pakej 1446H (2024/2025M) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam. – UTUSAN