GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan wanita yang dikatakan menari dalam keadaan separuh bogel ketika pesta Songkran di Batu Feringghi, hujung minggu lalu.
Beliau berkata, perbuatan tidak bermoral itu bukan sahaja mencemarkan imej Pulau Pinang selaku destinasi pelancongan terkenal, malah, ia menyinggung sensitiviti agama serta meruntuhkan nilai budaya masyarakat yang berpegang kepada ajaran Islam dan adat ketimuran.
“Dalam hal ini, Islam amat menekankan nilai maruah, kesopanan dan penjagaan aurat. Bukan sahaja dalam ruangan peribadi, tetapi juga (lebih-lebih lagi) di tempat awam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Terdahulu, tular di media sosial sekumpulan wanita menari dalam keadaan separuh bogel di atas pentas sempena pesta Songkran di Batu Feringghi.
Menerusi video yang dimuat naik di platform Facebook, sekumpulan wanita itu dilihat menari dengan pakaian mencolok mata di atas pentas utama sambil diperhatikan ratusan pengunjung yang hadir ke acara tersebut.
Menurut Mohd. Sukki, perbuatan membuka aurat dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak adalah jelas bercanggah dengan ajaran Islam dan merupakan suatu kemungkaran yang mesti dicegah.
“Firman Allah iaitu menerusi ayat 32 surah al-Isra’ iaitu dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan),” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kariah Masjid Jamek Ar-Rahman, Ismail Din berkata, pihaknya turut menzahirkan rasa kesal dengan penganjuran program terbabit kerana ia diadakan tidak jauh dari lokasi rumah ibadat tersebut.
“Kami amat terkejut dan kecewa apabila melihat rakaman video itu. Aktiviti tarian separuh bogel yang dipertontonkan secara terbuka di kawasan awam adalah satu bentuk maksiat yang tidak boleh diterima,” kata beliau.
Difahamkan, pesta Songkran di pantai Ferringhi Bay itu baru pertama kali dilangsungkan di kawasan premis berkenaan. Sebelum ini, pesta tersebut diadakan di kawasan lain iaitu di pesisir pantai Batu Ferringhi. – UTUSAN










