Ambil berat kemajuan digital, bukannya bercakap isu perkauman - Utusan Malaysia

Ambil berat kemajuan digital, bukannya bercakap isu perkauman

ANWAR Ibrahim menyantuni pengunjung majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Negara perlu mengambil berat mengenai kemajuan digital serta cabaran menghadapi kesan tarif Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana masih ada yang membicarakan isu perkauman tanpa menghiraukan cabaran sebenar Malaysia.

Beliau malah meluahkan kekecewaan apabila kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kurang mengangkat idea-idea kepentingan masa depan.

“Jangan digugurkan dengan celoteh-celoteh seperti di Ayer Kuning. Sekarang kita bercakap soal digital, AI, negara terancam dengan tarif. Kini ada kekuatan baharu untuk melatih anak-anak kita. Kemahiran, kecekapan dan kepintaran baharu dalam kejuruteraan, AI.

“Tetapi yang dibicarakan soal takut Kristian, Cina telan kita, DAP ini hantu. Ini tidak akan selesai.

“Saya tidak menyatakan kita tidak boleh bicara, boleh. Tetapi lihat masa depan. Pandang kepentingan anak-anak kita,” katanya semasa majlis sambutan Aidilfitri Madani 2025 peringkat negeri Perak di sini malam ini.

Anwar berkata, isu yang dihadapi orang Melayu bukanlah disebabkan bangsa lain tetapi oleh kerana masalah kepimpinan.

“Pimpinan harus bersih, pimpinan harus tegas, pimpinan harus berwibawa. Kalau kita berwibawa, tak berani orang ganggu kita. Tetapi kalau kita lembap, mudah korup dan mudah dibeli. Tak perlu ada hantu pun kita akan tewas” katanya.

Perdana Menteri mengakui Malaysia menerima kesan akibat pelancaran dasar baharu tarif oleh Presiden AS, Donald Trump, namun kata beliau, impaknya setakat ini adalah minimum.

“Kita di Perak, Malaysia ini harus tahu bahawa kita mesti bina kekuatan, daya tahan, daya saing dan daya juang kita. Kita bersatu, mahu negara kita maju,” katanya.

Anwar berkata, sejak menjadi Perdana Menteri beliau kerap menjalinkan hubungan dengan pelbagai negara bagi meningkatkan jaringan ekonomi dan perdagangan dengan memberi contoh hasil kejayaan syarikat kereta Malaysia, Proton untuk mengeluarkan produk di Mesir. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya