SHAH ALAM: Agensi berdaftar yang didapati terlibat dalam penipuan tawaran pakej haji dan umrah dikenakan tindakan pembatalan lesen secara serta merta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa ejen berlesen namun menyalahgunakan kepercayaan jemaah.
“Lesen ejen terlibat telah dibatalkan dan tindakan lanjut juga sedang diambil ke atas mereka. Kes penipuan ini bukan saja memberi kesan kepada mangsa malah mencemarkan nama baik institusi ibadah haji itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan Kursus Perdana Haji Musim 1446 Hijrah Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan menyempurnakan majlis itu mengingatkan jemaah haji tidak terpedaya dengan pakej palsu agensi tiada bertauliah.
Baginda mahu kerajaan memandang serius perkara itu dan berharap tiada lagi kes jemaah ditipu pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Na’im, beliau menjunjung titah Sultan Sharafuddin dan tindakan tegas dilaksanakan kerajaan melalui kerjasama strategik antara polis, Lembaga Tabung Haji (TH), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Tindakan itu diambil bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab yang memperdaya umat Islam dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
“Kita menerusi TH juga akan bertindak segera ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam penipuan itu,” ujarnya.
Tambah beliau, promosi palsu yang disebarkan menerusi platform digital kini menjadi trend membimbangkan dan memerlukan pemantauan semua pihak berkuasa.
“Kita tidak boleh membiarkan umat Islam terus menjadi mangsa penipuan tersebut. Ia bukan saja melibatkan kerugian wang ringgit namun memberi kesan kepada ibadah suci umat Islam yang terpedaya,” katanya.
Justeru, Mohd. Na’im meminta orang ramai membuat semakan terlebih dulu bagi memastikan agensi itu memiliki lesen sah atau sebaliknya.
“Tolong semak sebelum bayar dan semakan mudah boleh dibuat antaranya menerusi sistem MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) bagi umrah. Bagi semakan haji, hanya 37 Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diberi lesen oleh TH setakat ini,” katanya.-UTUSAN