KOTA BHARU: Sebanyak 43 premis pusat asuhan dan tadika di negeri ini ditutup susulan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, semua premis itu ditutup sehingga tempoh dua minggu untuk proses sanitasi dan pencegahan sebelum dibenarkan kembali beroperasi.
“Bermula Januari hingga 5 April lalu, sebanyak 4,591 kes HFMD dicatatkan di negeri ini dan meningkat 10 kali ganda bagi tempoh sama tahun lalu.
“Walaupun berlaku peningkatan, kes jangkitan (HFMD) di negeri ini mendatar dan tidak dipengaruhi pergerakan keluar masuk perantau ketika Ramadan atau Syawal,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri Wellness Hub Kelantan di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 47 remaja cedera akibat bermain mercun dan bunga api di Kelantan sejak awal Ramadan lalu yang melibatkan kecederaan ringan dan parah.
Menurutnya, daripada jumlah kes tersebut, sebanyak 12 kes kecederaan parah dan 16 kes telah dimasukkan ke wad.
“Sebanyak dua kes dirujuk ke hospital pakar iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai. Selebihnya, mangsa hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya. – UTUSAN