KUALA TERENGGANU : Sebanyak 37,381 notis atas pelbagai kesalahan berkaitan merokok ikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh enam bulan bermula bagi 1 Oktober 2024 hingga 31 Mac lalu.
Semua notis kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) itu dikeluarkan menerusi 10,212 operasi yang dijalankan di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli berkata, daripada jumlah itu, 116 kes dibawa ke mahkamah.
“Dalam tempoh itu juga, KKM menyita sebanyak 11,563 produk merokok dengan nilai RM266,833.10.
Sebelum melaksanakan tindakan penguatkuasaan ini, KKM telah mengadakan kempen kesedaran dan pendidikan kepada 206,657 individu yang mempunyai kaitan dengan jualan merokok bagi memastikan mereka memahami dan mematuhi penguatkuasaan Akta 852,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Cakna Penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 2/2025 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong, di sini, semalam.
Berhubung Op Cakna, Dr. Norhayati berkata, sebanyak 72,797 premis diperiksa menerusi 548 operasi yang dijalankan di seluruh Terengganu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Katanya, sebanyak 3,862 notis pelbagai kesalahan bernilai RM848,800 dengan 430 produk merokok dan makanan disita sepanjang operasi tersebut dilaksanakan. – UTUSAN