SUBANG JAYA: Sebanyak 30 buah kenderaan sementara diberikan kepada mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu bagi memudahkan urusan harian mereka yang terjejas akibat kejadian tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, sumbangan tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat Carro yang prihatin terhadap nasib mangsa.
“Kerajaan negeri Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Carro atas kesudian menyumbangkan kenderaan sementara kepada mangsa kejadian letupan dan kebakaran ini.
“Pagi ini, kita menyerahkan kunci kepada wakil keluarga mangsa dan tempoh penggunaan kenderaan ditetapkan selama satu bulan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kereta Sementara daripada Carro, di sini hari ini.
Menurut beliau, permohonan bagi mendapatkan kenderaan sementara dibuat melalui borang Google Form yang telah diedarkan kepada penduduk yang terjejas.
“Setakat ini, lebih 150 mangsa telah mendaftar untuk memohon bantuan berkenaan.
“Semalam, sebanyak 25 buah kenderaan telah diserahkan dalam kumpulan pertama, manakala hari ini adalah serahan bagi kumpulan kedua. Proses penyerahan akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang,” katanya.
Sze Han berkata, bantuan ini tidak mengambil kira tahap kerosakan dialami mangsa, sama ada kehilangan kenderaan secara keseluruhan atau sebahagian.
“Selagi mereka memerlukan kenderaan untuk bergerak, kita akan cuba bantu sedaya upaya,” katanya.
Kata beliau, beberapa syarikat automotif lain turut tampil menawarkan bantuan termasuk Chery (50 buah), Cargo (30), YonMing (62), Tan Chong Holdings Berhad, GoCar (20) dan Carsome (50), menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 200 buah kenderaan sedia untuk diagihkan kepada mangsa.
Sementara itu, katanya, Panasonic Malaysia turut menyalurkan bantuan dalam bentuk baucar bagi membantu mangsa mendapatkan kelengkapan rumah.
“Panasonic menawarkan sebanyak 240 e-baucar bernilai RM500 setiap satu bagi pembelian barangan elektrik.
“Permohonan boleh dibuat melalui Google Form dan e-baucar akan dihantar terus ke alamat emel pemohon. Mangsa yang memerlukan barangan keperluan rumah digalakkan untuk mengambil peluang memohon bantuan ini,” katanya. – UTUSAN