284 kumpulan pertama Jemaah Haji Malaysia berlepas Tanah Suci

284 kumpulan pertama Jemaah Haji Malaysia berlepas Tanah Suci

KUMPULAN pertama yang terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci awal pagi tadi di KLIA Terminal 1, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kumpulan pertama yang terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci awal pagi tadi.

Mereka terdiri daripada jemaah yang berlepas dari stesen Alor Setar di Kedah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor.

Penerbangan Malaysia Airlines MH8050 dari KLIA Terminal 1 ke Madinah itu berlepas sekitar pukul 4.05 pagi tadi dengan pesawat Malaysia Airlines MH 8050.

Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 7.50 pagi waktu Arab Saudi pada hari yang sama.

Majlis pelepasan jemaah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Mohd Na’im ketika ditemui berkata, beliau mengingatkan semua jemaah haji Malaysia musim ini untuk mengekalkan tradisi dan imej baik negara di mata dunia.

“Semua jemaah haji perlu mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang Kerajaan Arab Saudi dengan mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang tuan rumah,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi terutama Kementerian Haji dan Umrah kerana meneruskan inisiatif ‘Makkah Route’ buat tahun ketujuh pelaksanaannya.

Di samping itu, Malaysia juga terpilih sebagai negara pertama di dunia yang mengagihkan kad Nusuk kepada para jemaah haji di dalam negara sendiri untuk musim haji kali ini.

“Projek ini adalah hasil kerjasama tiga penjuru di antara Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, TH dan Syarikat AlMasiah iaitu sebuah syarikat pengendali jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

“Inisiatif ini adalah bukti kerjasama akrab di antara dua negara ini dalam usaha berterusan untuk menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji, membolehkan persiapan haji yang teratur, mengelakkan kesesakan semasa ketibaan di Arab Saudi dan menjamin kelancaran perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia,” katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 100 penerbangan sewa khas haji menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke tanah suci.

Katanya, TH telah mula menghantar para petugas haji ke Arab Saudi seawal 24 April lalu untuk membuat persediaan awal bagi menyambut ketibaan tetamu Allah yang bakal tiba nanti.

Selain stesen berlepas Alor Setar dan Sepang, sebanyak enam buah lagi stesen berlepas negeri akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri iaitu di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Bayan Lepas, Senai, Kuching dan Kota Kinabalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya