PETALING JAYA : Kira-kira 24 premis perniagaan yang dikesan telah dimonopoli warga asing di sekitar Puchong, Selangor digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 23 April lalu.
Menerusi operasi bermula pada pukul 10.30 pagi itu melibatkan seramai 54 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan mendapati perniagaan yang dikendalikan warga asing ini terdiri daripada jenis premis barangan runcit, makanan dan minuman, dandanan, cucian kenderaan dan jualan pakaian.
Kata beliau, berdasarkan hasil risikan yang dijalankan selama dua hari itu mendapati premis perniagaan yang dimonopoli warga asing ini beroperasi tanpa rasa takut dan bimbang terhadap aktiviti penguatkuasaan yang sedang giat dijalankan oleh agensi Penguatkuasaan.
“Warga asing ini dipercayai menerima bayaran gaji bermula dari RM50 sehari hingga RM1,500 sebulan.
“Kadar bayaran gaji ini juga bergantung kepada tempoh waktu bekerja individu warga asing tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, menerusi serbuan sama, seramai 370 individu yang terdiri daripada 247 lelaki dan 85 perempuan warga asing serta 38 warganegara tempatan telah diperiksa dalam operasi ini.
Kata beliau, pasukan operasi telah menahan seramai 72 lelaki dan 22 perempuan warga asing yang terdiri dari warganegara Thailand, Bangladesh, Indonesia, Myammar, Pakistan, Yemen, Vietnam, Egypt, Palestin dan India berumur di antara 23 hingga 35 tahun.
“Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, salah guna permit dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zakaria menegaskan jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – UTUSAN