SUBANG JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberikan bantuan berupa kotak makanan dan wang saku pelajar kepada seramai 234 mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, sebanyak RM35,076 diperuntukkan bagi bantuan kotak makanan kepada 158 ketua keluarga manakala RM22,800 disalurkan menerusi Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar kepada 76 orang pelajar sekolah yang terkesan.
“Setiap ketua keluarga akan menerima bantuan berupa satu kotak makanan bernilai RM220 yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum, susu, bihun, kicap, sos, biskut, makanan dalam tin dan minuman coklat.
“Sementara itu, setiap pelajar menerima bantuan wang tunai sebanyak RM300 bagi meringankan beban kos perbelanjaan harian dan persediaan untuk masuk ke rumah sewa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bantuan tersebut menggunakan peruntukan wang fidyah dan bertujuan memastikan para mangsa mendapat bekalan makanan yang mencukupi serta membantu meringankan beban kewangan mereka, terutama buat golongan pelajar. – UTUSAN