PETALING JAYA: Sebanyak 17 laluan utama di Lembah Klang dan Putrajaya akan ditutup atau dilencongkan sementara dari 15 hingga 17 April ini sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri memaklumkan, penutupan jalan secara penuh dan lencongan akan dilakukan selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi negara tersebut.
Katanya, antara laluan yang terlibat termasuk di beberapa lebuh raya serta beberapa jalan utama di Putrajaya seperti Persiaran Selatan dan Lebuh Gemilang.
“Jalan-jalan utama di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur turut terlibat antaranya Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Damansara dan Jalan Istana.
“Pada 15 April ini, penutupan akan bermula pukul 6 petang melibatkan laluan dari Lebuh KLIA sehingga ke Jalan P5 Putrajaya.
“Manakala pada 16 April, penutupan dijadualkan pada tiga waktu iaitu pada pukul 9.30 pagi, 12.30 tengah hari dan 4.10 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada 17 April pula, laluan terakhir akan ditutup bermula pada pukul 8.50 pagi, melibatkan pergerakan dari Putrajaya ke KLIA.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak polis yang bertugas.
“Seramai 378 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan bagi mengiringi delegasi, mengawal lalu lintas dan memastikan kelancaran sepanjang lawatan berlangsung.
“JSPT turut menyeru agar semua pengguna jalan raya memberikan kerjasama penuh dengan mematuhi arahan semasa, demi memastikan keselamatan dan kelancaran lawatan kenegaraan ini,” katanya – UTUSAN