100 rumah rosak akibat ribut di Bukit Gantang - Utusan Malaysia

100 rumah rosak akibat ribut di Bukit Gantang

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (tengah) meninjau keadaan rumah penduduk yang rosak akibat ribut, Rosnani Che Meh di Kampung Pak Darus Taiping semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menganggarkan lebih 100 buah rumah di kawasan ini mengalami kerosakan dalam kejadian ribut petang semalam.

Menurutnya, ini berdasarkan tinjauan di kawasan kejadian di Taman Damai, Taman Ria, Taman Kaya dan Kampung Pak Darus.

Menurutnya, kejadian berlaku dalam tempoh yang singkat dan tiada hujan lebat, namun angin kencang menerbangkan bumbung rumah penduduk di kawasan terlibat.

“Saya telah membuat tinjauan di 45 buah rumah di Taman Damai, tujuh rumah di Kampung Pak Darus dan di Taman Ria dan Taman Kaya.

“Kebanyakannya mengalami kerosakan pada sebahagian bumbung dan ada bumbung rumah sepenuhnya diterbangkan angin,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di sini semalam.

Menurutnya, bantuan akan disalurkan segera kepada penduduk yang terlibat bencana alam tersebut dan pihaknya sedang mengumpul maklumat rumah penduduk yang terjejas.

Katanya, mesyuarat bersama mangsa akan diadakan dan Pasukan Pusat Khidmat beliau akan menyusun langkah untuk bantuan segera.

“Kontraktor tempatan akan dipanggil untuk membantu membaiki rumah yang rosak secara gotong-royong yang diupah khas, bukan melalui kontrak formal. Ini bagi mempercepatkan proses pemulihan.

“Susah untuk menilai kerosakan jika beri bantuan wang tunai sebab tahap kerosakan berbeza.

“Ada rumah yang bumbungnya tercabut sepenuhnya, ada yang hanya beberapa keping zink hilang, jadi kami akan baiki terus rumah yang rosak” katanya.

Katanya, pihaknya menyediakan 200 pek makanan bermasak untuk mangsa yang terjejas sementara menanti bantuan daripada agensi berkaitan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN