1.9 juta pengunjung dijangka hadir PBAKL 2025

1.9 juta pengunjung dijangka hadir PBAKL 2025

AZMAN Adnan ketika merasmikan Majlis Pra Pelancaran PBAKL 2025 di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini. - KASMARA FOTOLAWA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 1.9 juta pengunjung dijangka hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 23 Mei hingga 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2025, Mohd Khair Ngadiron berkata, penganjuran kali ini menampilkan pelbagai kelainan berbanding edisi terdahulu.

Katanya, antara tarikan utama ialah pembukaan Galeri Teroka yang pertama kali diperkenalkan pada PBAKL.

“Galeri ini memberi penghormatan kepada keagungan karya tempatan serta memaparkan evolusi perbukuan negara, termasuk karya yang diiktiraf oleh UNESCO,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pra Pelancaran PBAKL 2025 dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri, di sini, hari ini. 

Mohd Khair berkata, PBAKL 2025 meneruskan pelaksanaan secara hibrid buat tahun ketiga berturut-turut, sejajar dengan trend pembacaan digital.

Katanya, bagi menggalakkan pembacaan merentas platform, kerjasama strategik dijalin dengan Shopee dan TikTok menerusi #BookTokMalaysia yang telah mencecah lebih 1.3 bilion tontonan.

“Asian Rights Fair (ARF) juga kembali buat tahun ketiga dengan penyertaan penerbit dan pemilik hak cipta dari lebih 10 negara termasuk Indonesia, India, Turki dan United Kingdom.

“Melalui ARF, sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan sebagai geran terjemahan bagi karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Insentif ini membantu memperkenalkan lebih banyak karya Malaysia ke pasaran dunia,” katanya. 

PBAKL 2025 dijangka menjadi platform penting untuk menggalakkan budaya membaca dan memperkukuh jaringan industri perbukuan serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya