JOHOR BAHRU: Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, syarikat hartanah, UDA Holdings Berhad (UDA) menyantuni 100 anak yatim dan asnaf daripada Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Zahrin Zakaria berkata, setiap kanak-kanak bakal menerima kelengkapan raya bernilai RM300.
Katanya, UDA memperuntukkan RM30,000 menerusi sumbangan zakat wakalah bagi melaksanakan program tersebut.
“Program ini memperkukuhkan komitmen kami terhadap komuniti yang memerlukan dengan menjalankan kewajipan mengagih zakat wakalah kepada golongan layak di sekitar wilayah pembangunan UDA.
“Ia juga bukti keprihatinan UDA terhadap kebajikan dan kesejahteraan komuniti, khususnya Bumiputera selain tanda sokongan kepada penyewa yang menjalankan perniagaan di sini,” katanya sempena Majlis Sinar Ramadan di Angsana Johor Bahru Mall, di sini semalam
Selain menerima kelengkapan Aidilfitri seperti baju Melayu, baju kurung, sampin, butang, songkok dan tudung, kanak-kanak tersebut turut diraikan dengan majlis berbuka puasa.
Salah seorang penerima, Muhammad Fadzrul Naim Mohd. Khairu Hafizi, 15, mengakui pertama kali menerima sumbangan kelengkapan sempena Aidilfitri setelah menghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, sejak tiga bulan lalu.
“Memang gembira kerana dapat pilih pakaian raya bersama kawan-kawan, selain itu kami turut diraikan dalam majlis berbuka puasa. Ini satu pengalaman manis bagi saya walaupun tinggal berjauhan dengan keluarga,” katanya yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.
Seorang lagi penerima, Siti Aisyah Khadijah Ezuddin, 13, pula teruja memilih pakaian sempena Aidilfitri yang sama warna merancang dengan rakannya.
“Rasa gembira sangat, saya dan beberapa kawan sudah berjanji untuk membeli pakaian raya berwarna kuning untuk Aidilfitri tahun ini,” katanya yang telah menghuni rumah perlindungan itu sejak lima tahun lalu. – UTUSAN