Tiada kes keracunan makanan di bazar Ramadan Perlis sejak 2021

Tiada kes keracunan makanan di bazar Ramadan Perlis sejak 2021

MARZITA Mansor (dua dari kiri) meninjau Program Promosi Penyediaan Makanan Selamat di bazar Ramadan pasar lama Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis merekodkan sifar kes keracunan makanan sepanjang bulan Ramadan bagi tempoh bermula 2021 sehingga tahun lalu.

Untuk tahun ini, Jabatan Kesihatan negeri (JKN) juga belum menerima sebarang laporan berhubung kes keracunan makanan di bazar-bazar Ramadan sekitar negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datin Marzita Mansor berkata, JKN tetap meneruskan pelaksanaan Program Promosi Penyediaan Makanan Selamat di bazar Ramadan pada tahun ini dalam memastikan seluruh masyarakat bebas daripada sebarang risiko ancaman keracunan makanan. 

Katanya, program itu diadakan setiap tahun dan kali ini pihaknya memilih lokasi baharu iaitu bazar Ramadan pasar lama Kangar bagi mengadakan promosi ini.

“Orang ramai juga diseru dapat menjadi pengguna bijak dan menggunakan kuasa membeli sebaiknya dengan memilih premis bersih serta tidak diragui,” katanya ketika ditemui bazar Ramadan Kangar semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Chik dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth. 

Untuk rekod, pada tahun lalu, sebanyak 667 premis telah diperiksa oleh JKN di mana semua mendapat markah penilaian kebersihan melebihi 80 peratus. 

Sementara itu, Ghazali berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan sebelum bermulanya bulan Ramadan menerusi pemeriksaan di peringkat sumber bahan mentah dan lokasi penyediaan makanan peniaga-peniaga dilesenkan bawah MPK.

Katanya, aktiviti pemantauan akan diteruskan di 11 bazar Ramadan pada tahun ini oleh penguatkuasa JKN di mana pensampelan makanan berisiko akan turut dijalankan. 

“Bagi memantapkan lagi usaha mendidik, advokasi akan disebar luas ke nat-nat pagi dan pasar malam supaya pengguna lebih bijak dalam memilih,” katanya.

Katanya, pengguna juga boleh membuat aduan terus kepada JKN sekiranya merasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan yang dijual di bazar Ramadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN