Sinergi melibatkan beberapa pihak iaitu Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tourism Pahang, dan Perbadanan Filem Nasional (FINAS) mementaskan teater Pelanduk Terakhir amat signifikan dalam usaha mengangkat karya seni persembahan melibatkan cerita rakyat.
Agak unik juga teater berkenaan kerana ideanya datang daripada hasil bengkel yang akhirnya merumuskan satu naskhah dipentaskan dalam teater.
Ia bukan sekadar sebuah persembahan seni, tetapi satu usaha penting dalam mengangkat warisan dan kesusasteraan rakyat Melayu, khususnya dari negeri Pahang.

Teater Pelanduk Terakhir menampilkan tarian Pelanduk, sebuah seni tari unik yang berasal dari Kampung Bukit Betong, Kuala Lipis sejak zaman pemerintahan Jepun.
Tarian tersebut dikatakan lahir daripada gerakan memburu pelanduk, yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bentuk seni sebagai simbol kelicikan, kebijaksanaan, dan daya tahan masyarakat Melayu dalam menghadapi cabaran.
Pada asalnya, tarian tersebut dipersembahkan dalam majlis adat dan keramaian sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin dan golongan bangsawan, sebelum akhirnya berkembang sebagai salah satu warisan budaya yang semakin jarang dipertontonkan pada hari ini.
Seni tari ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga medium penceritaan masyarakat lampau yang kaya dengan nilai sejarah, budaya, dan identiti bangsa.
Menurut Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Pahang merangkap penasihat pementasan teater Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, pementasan tersebut satu pencapaian besar bagi DPMP yang kali pertama berjaya menganjurkan sebuah produksi teater yang benar-benar mencerminkan warisan seni budaya negeri Pahang.
Menurut beliau, teater tersebut bukan hanya sebuah persembahan, tetapi juga platform pendidikan mengenai kekayaan seni warisan.
Selain memperkenalkan warisan Pahang, teater berkenaan juga menjadi wadah untuk generasi muda lebih memahami, menghargai, dan menyayangi budaya tradisional kita. Kita tidak mahu seni warisan ini pupus ditelan zaman.
Lebih mengujakan, Kerajaan Negeri Pahang juga menunjukkan komitmen dalam usaha memartabatkan industri teater dengan menggalakkan penyertaan penggiat seni tempatan dalam festival antarabangsa seperti Edinburgh Festival Fringe dan Singapore International Festival of Arts.
Tourism Pahang turut memainkan peranan utama dalam memperkenalkan teater sejarah sebagai daya tarikan pelancongan domestik dan antarabangsa.
Ini katanya, selaras dengan Peta Kerangka (Blueprint) Pahang Destinasi Warisan Dunia (2024-2028) yang bertujuan menghidupkan kembali lokasi-lokasi bersejarah di Pahang sebagai destinasi pelancongan lestari yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan
Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO).
Dalam pada itu, Presiden DPMP Prof. Emeritus Datuk Dr. Mansor Abdullah berkata, inisiatif pementasan tersebut bukan sahaja mengangkat khazanah warisan negeri Pahang, tetapi membuka lembaran baharu dalam industri seni persembahan tanah air.
Mansor berkata, pementasan tersebut adalah satu pencapaian besar pertama kalinya menganjurkan sebuah pementasan teater yang mengangkat warisan dan kesusasteraan rakyat Melayu, khususnya dari negeri Pahang.
“Teater ini bukan sekadar satu persembahan seni tetapi usaha berterusan dalam memenuhi keperluan tradisi keilmuan serta menghargai budaya Melayu melalui medium persembahan pentas,” ujarnya.
Diharapkan pementasan teater Pelanduk Terakhir menjanjikan satu pengalaman berbeza dengan mengangkat tarian Pelanduk, sebuah seni tari yang berasal dari Kampung Bukit Betong, Kuala Lipis sejak zaman pemerintahan Jepun.
Bagi pengarah dan penulis skrip Suzana Mohd. Suboh atau Suezanna MS, cabaran utama pementasan teater berkenaan adalah lontaran dialog yang memerlukan pelakon menggunakan loghat Pahang.

Seramai 13 pelakon terlibat dalam pementasan tersebut yang turut mendapat kerjasama pelajar teater Universiti Putra Malaysia (UPM) serta beberapa pelakon daripada Indonesia.
“Kami mula berlatih sejak Januri lalu, “ ujarnya.
Kata Suzana teater Pelanduk Terakhir istimewa dan wajib ditonton rakyat Malaysia kerana ia bukan sekadar sebuah kisah tentang tarian warisan, tetapi membawa mesej mendalam tentang identiti, kepercayaan, dan perjuangan mempertahankan budaya dalam arus pemodenan.
Menurut Suzana lagi, ada beberapa aspek penting yang menjadi intisari dalam naskah teater berkenaan iaitu :
Memartabatkan Warisan Pahang
Teater ini mengangkat tarian Pelanduk, yang mungkin tidak dikenali ramai, dan menjadikannya simbol keteguhan budaya. Ia mengingatkan kita tentang kepentingan menjaga seni tradisional daripada terus pupus ditelan zaman.
Konflik Antara Tradisi dan Agama
Pertembungan antara dua watak iaitu Mahdi dan Sabariah mencerminkan pergelutan sebenar dalam masyarakat apabila sesuatu seni budaya sering disalah anggap sebagai bertentangan dengan agama. Isu ini relevan dan mampu mencetuskan perbincangan intelektual yang lebih mendalam.
Pembangunan Karakter yang Kuat
Mahdi sebagai protagonis memiliki lapisan emosi yang menarik—mewarisi semangat ayahnya, menghadapi kecaman, dan tetap teguh mempertahankan seni. Sementara itu, Sabariah bukan sekadar antagonis biasa, tetapi wataknya berkembang dengan pendedahan masa lalunya sebagai bekas penari, menjadikan konfliknya lebih kompleks dan realistik.
Nilai Persaudaraan dan Kemaafan
Puncak penceritaan yang mendedahkan sabotaj Sabariah bukan diselesaikan dengan dendam, tetapi dengan kemaafan. Ini mengajar nilai murni kepada penonton bahawa permusuhan boleh diselesaikan dengan kasih sayang dan penerimaan.
Sinematik dan Simbolik
Adegan dua lembaga hitam menyerupai pelanduk yang direka untuk menakut-nakutkan orang kampung memberikan elemen dramatik yang kuat. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai titik perubahan naratif tetapi juga membawa makna simbolik bahawa kebenaran akhirnya akan terbongkar.
Justeru, secara keseluruhannya, teater Pelanduk Terakhir bukan hanya hiburan teater, tetapi satu bentuk pendidikan dan refleksi kepada masyarakat tentang kepentingan memahami seni warisan dengan lebih mendalam.
Dengan gabungan emosi, konflik, budaya, dan keindahan visual tarian, ia adalah sebuah karya yang wajar mendapat tempat di hati penonton Malaysia.
Beliau berharap ramai akan menyaksikan teater berkenaan yang turut melibatkan mahasiswa dan mahasiswi dari pada Kelab Penggiat Teater Sejagat (PENTAS) Universiti Putra Malaysia akan (UPM) menampilkn bakat-bakat hebat yang ditonjolkan oleh bakal graduannya.
Antara pelakon utamanya ialah Roslan Madun dan Liza Abdullah
Pementasan diadakan dari 25 hingga 27 April ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Tiket berharga RM50, RM30 dan RM20. –UTUSAN











