Seketika saya terkejut melihat struktur dan keadaan flat Mahsuri, rumah pangsa enam blok lima tingkat terletak di Lorong Mahsuri, Bayan Baru, Pulau Pinang yang dibina pada awal tahun 1980-an, kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin
Terkejut bukan kerana ternampak makhluk halus bertenggek di situ, tetapi, keadaan yang usang dan tidak lagi sesuai didiami membuatkan saya berfikir macam-macam.

Seolah-olah memang mahu mengundang makhluk halus jika keadaannya terus dibiarkan begitu tanpa penyelenggaraan berkala dan pembangunan semula.
Sudah berusia empat dekad, satu blok daripadanya dirobohkan kerana strukturnya tidak kukuh.
“Jadi, awak sudah fikir, mengapa masih ada lagi pihak membantah cadangan kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sedangkan keadaan seperti ini mendesak untuk negara melaksanakannya?
“Jika di Pulau Pinang sudah seusang ini, negeri lain pula bagaimana?
“Untuk ahli politik, janganlah cuba menangguk di air keruh. Mereka hanya menyusahkan orang miskin dari pelbagai kaum,” kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, 49, kepada Mingguan Malaysia.
Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani era Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pembangkang Perikatan Nasional (PN) giat membantah cadangan URA dan bermain persepsi bahawa orang Melayu bandar akan dipinggir atau ‘dihapuskan’, namun hakikatnya, hal itu tidak benar.
Ketua Cabang Bayan Baru PKR itu menjelaskan, mengikut kajian, flat tersebut disewa kepada pekerja asing yang mewakili 70 peratus kependudukan di kawasan itu.
Sementara itu, terangnya, orang tempatan atau pemilik asas menyaksikan 55 peratus Melayu, Cina (35 peratus) dan orang India (10 peratus) sudah berpindah.
“Realitinya, orang Melayu, Cina dan India miskin telah dipinggirkan tanpa Akta Pembangunan Semula Bandar. Sekarang, yang tinggal hanyalah golongan B40 (golongan berpendapatan rendah) dalam keadaan sangat daif.

“Tanpa URA, realitinya perumahan mereka didiami pekerja asing. Maka, dengan adanya undang-undang ini, pemilik asal dan generasi kedua akan kembali ke tempat asal.
“Ia membantu rakyat tempatan mendapat rumah dengan mudah,” katanya.
URA adalah RUU baharu masih dalam peringkat perancangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Menterinya, Nga Kor Ming.
RUU itu bertujuan memberi kuasa kepada jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dan negeri untuk membangunkan semula dan memperbaharui bangunan atau tanah terbengkalai tanpa memerlukan persetujuan 100 peratus daripada pemiliknya.
Mengulas tentang kawasan Parlimennya, kata Tze Tzin, Bayan Baru merupakan kawasan tumpuan bagi syarikat-syarikat elektrik dan elektronik berteknologi tinggi yang membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Katanya, Parlimen Bayan Baru tidak berdepan isu kebajikan yang serius kerana boleh dianggap berpendapatan dan sifar pengangguran atau kadarnya amat rendah.
“Cuma, masalah lazim seperti parlimen lain adalah kesesakan lalu lintas kerana Pulau Pinang saiznya kecil dan mempunyai jalan yang direka sejak era 70-an lagi.
“Maka, ia tidak dapat menampung tahap kepesatan penduduk selain ramai datang ke sini bekerja.
“Saya tidak nafikan, dalam mana-mana kawasan pasti ada golongan rentan dan tercicir. Tetapi, saya cuba memenuhi setiap keperluan rakyat dan pengundi,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu.
Tze Tzin menyandang kerusi Parlimen Bayan Baru selama tiga penggal sejak bertanding pilihan raya umum (PRU) 2013.
Pada PRU-15 2022, beliau meraih 55,209 undi (34,902 undi majoriti) menewaskan lima calon lain.
Dalam pada itu, katanya, cabaran semasa adalah memperluas bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid, sekaligus menikmati manfaat daripada industri teknologi tinggi.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga beri arahan semua sekolah berasrama penuh mesti 70 peratus adalah bidang STEM kerana anak-anak punya masa hadapan yang cerah dalam bidang ini.
“Ketika saya beri peruntukan kepada sekolah-sekolah, saya beri syarat kepada pengetua sekolah yang mana mereka mesti tingkatkan penglibatan pelajar dalam STEM,” katanya. –UTUSAN










