KAJANG: ‘Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini.’
Itu janji bapa kepada tiga orang anak yang terpilih sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri.
Penghuni Penjara Kajang berusia 38 tahun itu memberitahu, dia sudah mendapat tawaran bekerja di sebuah restoran di Putrajaya sebaik melangkah keluar dari jeriji besi itu.
Berbekalkan pengalaman bekerja di syarikat makanan dan minuman, Adam (bukan nama sebenar) yakin dia mampu menjadi pekerja terbaik untuk majikannya.
“Inilah peluang untuk saya mengubah diri menjadi lebih baik. Saya juga bersyukur kerana sudah mendapat kerja dan mahu menggembirakan tiga anak yang berusia antara 10 hingga 15 tahun menjelang Aidilfitri ini.
“Hari ini, pihak majikan sendiri yang datang menjemput saya di penjara,” katanya ketika ditemui di pekarangan Penjara Kajang, hari ini.
Adam antara 601 OBB dari 34 institusi penjara di seluruh Malaysia yang terpilih menerusi program PBSL.
Kongsinya, dia menjalani hukuman di penjara sejak Disember tahun lalu atas kesalahan jenayah bersubahat mencuri motosikal.
Untuk rekod, ini merupakan kali ketiga dirinya keluar masuk penjara selepas terlibat dengan penyalahgunaan dadah sebelum ini.
Lelaki yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu dijadualkan bebas sepenuhnya pada 4 Jun depan. – UTUSAN