Syarikat pembinaan didenda RM112,000 benar imigran haram masuk premis projek

Syarikat pembinaan didenda RM112,000 benar imigran haram masuk premis projek

HOW Eng Hwa yang mewakili syarikat pembinaan, China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan membenarkan 16 imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis syarikat itu pada Februari lalu.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEREMBAN: Sebuah syarikat pembinaan yang menjalankan projek kilang perubatan di Negeri Sembilan didenda RM112,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membenarkan 16 imigran haram untuk masuk dan tinggal di premisnya pada Februari lalu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. selepas How Eng Hwa, 34, yang mewakili syarikat terbabit membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap imigran dengan jumlah keseluruhan RM112,000 bagi 16 imigran haram.

Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah turut memerintahkan wakil syarikat dipenjara enam bulan. Syarikat itu bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. yang mempunyai kuasa terhadap premis projek didapati telah membenarkan 16 orang imigran haram untuk masuk atau tinggal di situ.

Kesalahan tersebut dilakukan di kawasan projek cadangan pendirian bangunan industri melibatkan fasa satu, dua dan tiga termasuk pembinaan sebuah unit kilang, blok asrama pekerja lima tingkat dan satu unit pencawang elektrik di atas Lot8323, Mukim Jimah di Port Dickson lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, 6 Februari lalu.

Sehubungan itu, syarikat tersebut telah melanggar peruntukan Seksyen 55E(1) Akta Imi 1959/63 dan telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) Akta Imigresen 1959/63

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran yang masuk dan tinggal di dalam premis.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Imigresen negeri, Suhaida Ab. Wahab memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap syarikat terbabit manakala peguam Jason Cheong Kah Lok yang mewakili syarikat memohon hukuman denda minimum dapat diberikan bagi setiap imigran haram mengambil kira kes itu adalah kesalahan pertama syarikat.

Jason berkata, syarikat itu ditubuhkan pada 2013 dan menjalankan kerja-kerja pembinaan termasuk projek pembinaan kilang perubatan Antmed di Negeri Sembilan dan sebuah pelaburan yang mendapat sokongan penuh dari Kerajaan Negeri.

“Syarikat China State Construction Engineering adalah kontraktor utama bagi pembinaan projek ini dan terdapat sub kontraktor yang dilantik. Malangnya, 16 orang imigran haram yang berada di tapak tersebut sebenarnya adalah milik sub kontraktor yang digaji oleh mereka, namun di bawah peruntukan akta ini selagi ada imigran haram ianya adalah salah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN