Suntikan RM1.1 bilion kepada SEB: Hanya istilah berubah - Hassan

Suntikan RM1.1 bilion kepada SEB: Hanya istilah berubah – Hassan

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR mengkritik tindakan kerajaan memberi suntikan dana sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) yang disifatkannya sebagai ‘bailout’ seperti mana dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkataan ‘bailout’ atau menyelamatkan syarikat dengan suntikan wang rakyat adalah istilah yang sering digunakan sejak era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, semasa era pemerintahan Dr. Mahathir, kerajaan sering memberi alasan kepentingan nasional dan hujah berbaur kaum untuk melaksanakan ‘bailout’ demi menyelamatkan syarikat-syarikat besar yang dianggap penting untuk negara.

“Begitu juga dengan tindakan kerajaan yang kini memberikan dana kepada SEB, yang dikatakan untuk menyelesaikan tunggakan bayaran kepada lebih 2,000 vendor, 80 peratus daripadanya adalah syarikat bumiputera.

“Kerajaan mengeluarkan sejumlah wang yang banyak, RM1.1 bilion, untuk menyelamatkan SEB. Itu ‘bailout’ lah namanya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan, suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada SEB bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu.

Perdana Menteri berkata, suntikan dana itu akan dijadikan  modal pinjaman supaya pengurusan baharu akan menguruskan dengan lebih baik dan membayar semula pinjaman itu apabila mendapat keuntungan.

Malah, katanya, kerajaan turut melantik syarikat Ernst & Young untuk menjalankan audit forensik bagi memastikan ketelusan dalam proses itu dan setiap sen yang diberikan akan dipantau.

Hassan Abdul berkata, alasan yang diberikan oleh kerajaan untuk tidak membiarkan SEB gagal adalah hampir sama dengan hujah yang digunakan oleh Dr. Mahathir.

“Anwar dan Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil masing-masing berhujah bahawa jika kerajaan tidak menyelamatkan SEB, Malaysia terpaksa bergantung kepada syarikat perkhidmatan asing dan akan dianggap mengkhianati orang Melayu,” katanya.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, menyifatkan istilah ‘pelaburan strategik’ yang digunakan oleh kerajaan kini sebagai cubaan untuk menyembunyikan hakikat sebenar iaitu ‘bailout’.

“Walaupun nama istilah berubah, tujuan yang sama masih diteruskan untuk menyelamatkan syarikat dengan wang rakyat.

“Kerajaan perlu lebih telus dan berhati-hati, agar tidak mengulangi kesilapan sama seperti yang berlaku pada masa lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN