Strategi politik Kon Yeow untungkan DAP, PH di Pulau Pinang?

Strategi politik Kon Yeow untungkan DAP, PH di Pulau Pinang?

CHOW Kon Yeow (duduk, tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang yang baharu di George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memilih untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang tahun lepas, ada pihak yang agak skeptikal dengan keputusan tersebut.

Malah, ada yang melihat Kon Yeow seperti sudah berada di ‘penghujung karier’ apabila enggan berbuat demikian sedangkan beliau masih kekal sebagai Ketua Menteri sehingga penggal pentadbirannya berakhir iaitu selewat-lewatnya pada 2027 nanti.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Batu Kawan itu seperti biasa; hanya tersenyum dan bersikap tenang termasuk ketika menjawab sebarang pertanyaan berkaitan daripada wartawan.

Minggu lepas pula, Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP membuat ‘kejutan’ apabila mengesahkan akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dijangka berlangsung bulan depan.

Dan semalam, beliau dipilih untuk terus mempengerusikan jawatankuasa terkini Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri yang turut dianggotai oleh Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu, Steven Sim Chee Keong selaku Timbalan Pengerusi bersama Nurul Izzah Anwar (PKR) dan Muhammad Faiz Fadzil daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Lalu, timbul persoalan, apakah strategi sebenar Kon Yeow yang berpengalaman selama lebih 35 dalam dalam dunia politik ini dan adakah ‘percaturannya’ ini akan memberi impak positif terhadap DAP serta PH khususnya di Pulau Pinang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti?

Secara umumnya, ramai pemerhati melihat keputusan Kon Yeow ketika melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang sebelum ini dan hasratnya untuk terus bertanding dalam pemilihan CEC parti itu bulan depan yang ditandinginya sejak lebih 20 tahun lalu adalah dua perkara yang berbeza sama sekali.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. P. Sivamurugan berpandangan, ketika memilih untuk tidak mempertahankan jawatannya di peringkat negeri, Kon Yeow mungkin berbuat demikian bagi ‘mengharmonikan’ suasana parti ketika itu.

“Barangkali, ini (keputusan tidak bertanding dalam pemilihan jawatankuasa DAP peringkat negeri) untuk elak isu dalaman PH supaya persiapan awal (dapat) dibuat untuk berdepan dengan PRU-16.

“(Jadi) dengan pengalaman beliau sebagai Ketua Menteri, ini akan memberi nilai tambah kepada DAP-PH (ketika PRU-16),” kata beliau.

Berhubung keputusan Kon Yeow kekal sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang pula, Sivamurugan berkata, jawatankuasa baharu itu wujud selepas pemilihan parti negeri dan sebelum pemilihan parti pusat dijalankan.

“Jadi, keputusan ini selari dengan kedudukan beliau (Kon Yeow) kini sebagaimana pelantikan ahli Jawatankuasa PH Pulau Pinang yang lain,” katanya yang melihat strategi tersebut mungkin memberi impak positif kepada DAP dan PH Pulau Pinang buat masa ini.

Tambah Sivamurugan, tidak mustahil juga andai Kon Yeow ‘diserap’ menganggotai Kabinet pada masa depan namun ia bergantung kepada pemilihan parti itu bulan depan serta barisan yang menang pada pemilihan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×