LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot menganggap kegagalan pasukannya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah sebagai satu kejutan.
Kata Slot, kekalahan di tangan Paris Saint-Germain (PSG) hadir selepas tentangan sengit diberikan barisan pemain kepada gergasi Perancis itu.
PSG menewaskan Liverpool 4-1 dalam penentuan penalti untuk mara ke suku akhir, memenangi aksi timbal balik pusingan 16 akhir dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Ousmane Dembele.
“Sudah pasti ia mengejutkan. Tetapi kami keluar selepas menentang salah satu pasukan terbaik di Eropah serta memberi tentangan sengit kepada mereka.
“Saya rasa peminat di seluruh dunia berharap perlawanan ini akan berterusan kerana ia menakjubkan. Dan mereka, pada akhirnya, menang,” kata Slot.
Dalam aksi berkenaan, penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma menyelamatkan sepakan penalti Darwin Nunez dan Curtis Jones untuk membawa PSG ke suku akhir.
Pelawat menyempurnakan keempat-empat sepakan penalti di Anfield dan mereka akan berdepan sama ada Aston Villa atau Club Brugge di suku akhir bulan depan.
Sebelum ini, Liverpool dicanang sebagai pasukan pilihan Liga Juara-Juara selepas menduduki tangga teratas peringkat kumpulan yang menggunakan format baharu.
Liverpool masih mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan selesa dan akan bertemu Newcastle United pada final Piala Liga di Wembley, Ahad ini. – AGENSI/UTUSAN










