Sindiket edar ganja tumpas, polis tahan tiga lelaki

Sindiket edar ganja tumpas, polis tahan tiga lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja susulan penahanan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing dalam serbuan berasingan di negeri ini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kesemua suspek berusia antara 35 hingga 40 tahun itu ditahan di kawasan Batu Feringghi, George Town dan Seberang Jaya dalam serbuan hampir tiga jam bermula pukul 1.35 pagi itu.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama di hadapan sebuah apartment di Batu Feringghi, polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah jenis ganja.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah kereta jenis Perodua Aruz yang di parkir di kawasan ini kemudian menemukan empat peket plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering berlogo M, dipercayai ganja seberat 2.05 kilogram (kg) bernilai RM6,360.

“Selain itu, satu plastik lutsinar mengandungi sembilan peket kecil tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 210 gram bernilai RM640 turut dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daera (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, susulan tangkapan itu juga, polis kemudian berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan di tepi jalan sekitar George Town pada pukul 3.15 pagi.

Katanya, hasil soal siasat membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di Seberang Jaya pada pukul 4.15 pagi, sekaligus menahan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai bekerja dengan sindiket berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan enam peket plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering berlogo M seberat 3.11 kg bernilai RM9,645 serta empat peket plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 1,184 gram bernilai RM3,655,” katanya yang memberitahu, sindiket tersebut aktif sejak Oktober lalu dan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan sebanyak 13,126 kali.

Katanya, sindiket dipercayai memperoleh bekalan dari negara jiran dan suspek warga Indonesia itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta bekerja sebagai buruh di sini.

“Modus operandi sindiket adalah membeli ganja dalam kuantiti besar sebelum menjualnya dalam pakej kecil kepada pelanggan dengan harga pasaran semasa mencecah RM2,200 sekilogram. Rangkaian sindiket ini dan sumber bekalan yang dikatakan untuk pasaran tempatan bagaimanapun masih disiasat,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman tujuh hari hingga 28 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis turut menyita sebuah motosikal bernilai RM12,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sitaan dan rampasan mencecah RM32,300. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN