Si ‘Gemuk Solo' tumpas, polis selesai lima kes curi

Si ‘Gemuk Solo’ tumpas, polis selesai lima kes curi

BARANGAN yang rampas selepas polis berjaya memberkas seorang lelaki yang digelar ‘Gemuk Solo’di sebuah rumah pangsa di Taman Anika, Lorong Pandan, Tengkera, Melaka pada 4 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki yang digelar ‘Gemuk Solo’ yang dikesan aktif melakukan jenayah pecah masuk dan curi akhirnya diberkas polis minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas di sebuah rumah pangsa di Taman Anika, Lorong Pandan, Tengkera di sini pada 4 Mac lalu.

Katanya, suspek berjaya dikesan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) selepas mencuri wang tunai dari peti wang di sebuah kedai kopitiam di Taman Malim Jaya pada 2 Mac lalu.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang merupakan seorang penganggur telah aktif melakukan jenayah sejak Januari 2025.

“Dia menggunakan modus operandi dengan menyasarkan premis yang tidak berpenghuni seperti tokong, gerai buah-buahan dan kedai kopitiam pada awal pagi antara pukul 6 hingga 10 pagi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini. 

Tambahnya, suspek juga bertindak memakai topi keledar bagi menutup wajah ketika melakukan jenayah dan hasil curi digunakan untuk keperluan harian.

Ujarnya, setakat ini suspek mengaku terlibat dalam lima kes curi di sekitar daerah Melaka Tengah sekali gus pihak polis berjaya menyelesaikan kesemua kes tersebut. 

“Suspek kini berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, Seksyen 379 kerana mencuri serta Seksyen 448 kerana menceroboh premis.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara serta dikenakan denda mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN