PALING menarik tentang kumpulan puisi Sambil Menunggu Tua di Beranda adalah buku ini pertama yang diterbitkan setelah hampir 60 tahun Wan A. Rafar menulis puisi dalam jagat sastera Malaysia.
Soalan menarik yang boleh dikemukakan. Kenapa baru sekarang Wan A. Rafar menerbitkan buku kumpulan puisi sedangkan Wan A. Rafar telah menghasilkan ratusan puisi sejak 1966 hingga sekarang?
Juga paling menarik, ada tiga puisi di dalam buku ini telah diiktiraf sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia, yang kini dikenali Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Tiga puisi itu adalah Bahasa Kerbau (1971), Bagong (1974) dan Wukuf (1982).
Justeru, kenapa Wan A. Rafar tidak mahu menerbitkan buku puisinya pada 1970-an, 1980-an, 1990-an, 2000-an dan 2010-an? Berdasarkan catatan Wan A. Rafar, beliau menyatakan bahawa –
“Saya keberatan untuk menerbitkan semula karya-karya ini, terutamanya karya awal. Saya rasa malu apabila membacanya hari ini”.
Akhirnya, atas usaha dan kesungguhan Penerbitan Kata Pilar (M) Sdn. Bhd. telah berjaya menerbitkan buku puisi pertama Wan A. Rafar bertajuk Sambil Menunggu Tua di Beranda (SMTDB) cetakan pertama Januari, 2025.
Apabila buku ini terbit, Wan A. Rafar turut menyatakan sesuatu yang menyentuh emosi dalam catatannya berbunyi begini. – “Barangkali inilah buku baru dan buku lama itu.”
Berdasarkan catatan biodata, Wan A. Rafar ialah graduan Universiti Malaya pada 1974 dalam bidang Pengajian Melayu dengan pengkhususan dalam linguistik dan kesusasteraan Melayu.
Maka tidak hairanlah 62 puisi dalam SMTDB memiliki kekuatan khususnya nilai estetika dalam puisi yang mengangkat pelbagai tema.
Meskipun hampir 60 tahun berkarya dan tidak pernah menerbitkan kumpulan puisi, puisi-puisi Wan A. Rafar banyak diterbitkan dalam antologi puisi.
Antaranya Dalam Getaran (Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 1973), Kumpulan Sajak-sajak Hadiah Sastera 1971-1973 (DBP, 1976), Pemenang ‘74 (DBP, 1976), Modern Malaysian Poetry (DBP, 1980), Lagu Kehidupan (DBP, 1983), Bintang Mengerdip (DBP, 1984), Cakerawala (DBP, 1986), Bunga Gerimis (Fajar Bakti, 1986), Malaysia dalam Puisi (DBP, 1991), Mengenang-Mu, Puisi-puisi
Melayu Berunsur Islam 1933-1986 (DBP, 1989), Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (DBP, 1990) dan Suara Kita, Antologi Seribu Sajak Merdeka (Jabatan Penerangan Malaysia, 2013).
Melihat senarai antologi puisi, 90 peratus diterbitkan oleh DBP. Sehubungan itu, kenapa kumpulan puisi Wan A. Rafar tidak ada diterbitkan oleh DBP? Adakah Wan A. Rafar tidak pernah mengajukan manuskrip kumpulan puisi kepada DBP?
Apakah DBP tidak pernah merancang ingin menerbitkan kumpulan puisi Wan A. Rafar berdasarkan ketika itu nama Wan A. Rafar menyemarak dalam jagat sastera dan puisi-puisinya berkualiti dan mencabar minda pemikiran pembaca.
Kumpulan puisi SMTDB sangat mencabar pemikiran pembaca. Sebagai contoh, puisi Bahasa Kerbau.
Apakah yang ingin disampaikan oleh penulis kepada pembaca?
Memang manusia tidak dapat memahami bahasa kerbau yang hanya mengeluarkan bunyi. Namun berita yang pernah tersebar di media bahawa pengembala kerbau dapat memahami bahasa kerbau berdasarkan tingkah laku kerbau.
Setelah dibaca dan dihayati puisi Bahasa Kerbau, amat jelas Wan A. Rafar menceritakan tentang kehidupan rakyat marhaen.
Penulis memaparkan tentang rakyat Malaysia yang keciciran dalam alam persekolahan yang secara tidak langsung ketinggalan dalam ilmu pendidikan yang boleh menentukan masa depan seseorang individu.
Penulis juga ingin memberitahu kepada pembaca tentang kehidupan rakyat miskin tegar yang sejak dahulu hingga sekarang masih tidak dapat dihapuskan dan isu miskin tegar ini telah menjadi agenda utama Kerajaan Madani bahawa kemiskinan bukan sekadar masalah ekonomi, tetapi ia adalah soal maruah dan keadilan sosial dan Kerajaan Madani terus berusaha membasmi kemiskinan tegar yang akan dilipatgandakan dengan lebih agresif di seluruh negara.
Diperturunkan sepenuhnya puisi Bahasa Kerbau.
pagi jaga sebelum geliat matahari
segeluk air membasuh kedua mata
di bawah rumah gelisah kerbau menanti
di tengah sawah keras tanah lama tersedia
ia lalu mengena kemeja kuning lumpur
kepada si isteri berpesan ia
jaga anak bila tengah hari
hantarkan rebus ubi dan seteguk kopi
aku mau kerja sampai jatuh matahari
si isteri di pintu melambai dengan mata sayang
si suami melangkah dengan hati senang
si anak di tikar berselimut mimpi mekar
sekolah belum daftar bila besar mau jadi soljar
ia melangkah dengan siul megah
mengiringnya sahabat setia kuat gagah
“aku hidup untukmu kita saling membantu
mari cari ketenangan di pagi baru”
jari-jemari tidak kenal kalam sekolah
mata lahir batin tidak tahu baca buku
buka mata sebaik lahir sudah
mengenal sekolah sawah membaca keping-keping buku tanah
ia belajar bukan bahasa surat
sekolah itu pintunya terkatup rapat
sedari kecil hanya belajar bahasa kerbau
ci ci ci no no no no ci ci ci no no no
ia dan kerbau hanya mengerti
kukenal ia pertama kali setahun lepas
tiada rehat penat kerja selalu keras
umur mudanya begitu meluncur deras
sepuluh jari diangkat di subuh hening
ini tahun padi harap menguning
Kesimpulannya, biarpun hampir 60 tahun baru kumpulan puisi Wan A. Rafar yang pertama terbit untuk menjadi khazanah sastera nusa dan bangsa, tidak dapat dinafikan SMTDB memiliki kualiti sastera yang tinggi dalam jagat kesusasteraan Melayu dan Nusantara. – UTUSAN











