KULAI: Kerja-kerja penyelenggaraan parti dan sungai perlu dilakukan secara kerap bagi mengelakkan kejadian banjir berulang berlaku di beberapa daerah di negeri ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan penyelenggaraan secara berkala itu perlu diberikan perhatian serius selain projek tebatan banjir yang sedang dirancang untuk dilaksanakan.
“Pendalaman dan penyelenggaraan sungai terutama di sungai-sungai utama cukup penting. Tidak memadai jika hanya dibuat setahun sekali sahaja, jika tidak ia akan dipenuhi rumput.
“Justeru, penyelenggaraan sungai perlu lebih kerap agar aliran air tidak tersekat dan dapat mengurangkan risiko banjir,” katanya selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, di sini hari ini.
Ahmad berkata, kerja-kerja meluruskan aliran sungai dan mendalamkan muara juga merupakan langkah penting yang perlu dipercepatkan.
“Saya berharap projek tebatan banjir di negeri ini yang tertangguh dapat disegerakan. Apa sahaja proses yang melambatkan pelaksanaannya perlu dipermudahkan supaya kejadian banjir seperti ini tidak berulang,” ujarnya.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menyifatkan bantuan RM3,000 kepada ketua isi rumah (KIR) terjejas banjir oleh Kerajaan Johor sebagai yang terbesar pernah diberikan.
“Bantuan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada mangsa banjir memandangkan bencana ini tidak dijangka berlaku dan disifatkan sebagai yang terburuk. Sebagai contoh di kawasan Parlimen Pontian, biasanya jika berlaku banjir hanya tiga atau empat sahaja PPS dibuka tetapi semalam saya pergi sampai 10 PPS,” katanya.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu turut mengarahkan UMNO Bahagian dan cawangan di kawasan terjejas banjir untuk turun padang membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka.
“Ada sukarelawan Wanita UMNO yang sudah bergerak ke PPS membantu mangsa banjir dengan mengumpulkan pakaian dan dihantar ke dobi,” ujarnya.-UTUSAN