PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beliau.
Bekas Perdana Menteri itu yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan keterangan yang mengambil masa kira-kira lima jam semalam.
Beliau bagaimanapun diarah kembali menyambung keterangan kepada SPRM hari ini
Terdahulu, pegawai penyiasat SPRM merekodkan kenyataan Ismail Sabri yang tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.46 pagi tadi sebelum sesi bermula jam 10 pagi.
Pada 11 Februari lalu, beliau disoal siasat selama lima jam di ibu pejabat SPRM berhubung perbelanjaan ratusan juta ringgit yang dibelanjakan untuk perbelanjaan promosi dan publisiti semasa pentadbirannya dari 2021 hingga 2022.
Hasil siasatan yang dijalankan setakat ini, SPRM sudah merampas wang tunai dalam pelbagai bentuk mata wang asing berjumlah kira-kira RM170 juta bersama 16 kilogram jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta.
Rampasan itu dibuat hasil serbuan terhadap tiga premis termasuk safe house selepas SPRM menahan empat bekas pegawai kanannya ketika menjadi Perdana Menteri.
SPRM juga membekukan 13 akaun bank yang mengandungi lebih RM2 juta sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap Ismail Sabri.
Setakat ini, SPRM sudah merekodkan keterangan 36 individu dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM sebelum ini dilaporkan menyita wang kira-kira RM170 juta membabitkan pelbagai mata wang termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta jongkong emas berjumlah 16 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7 juta. – UTUSAN










