KUALA LUMPUR: Pengarah, Dr Ahmad Idham, mendedahkan babak pelanggaran antara kereta dan lori di Jalan Bukit Bintang seperti yang tular di aplikasi TikTok, menelan belanja sebanyak RM200,000.
Jelas Idham, pihak produksi sanggup berbelanja besar untuk satu adegan itu demi memastikan ia meninggalkan kesan mendalam kepada penonton Impak Maksima 2.
“Ia membabitkan kos keseluruhan kerana sebuah kereta sudah berharga RM50,000, tidak termasuk lori, ‘stunts’ (pelakon lagak ngeri), anggota polis, Rela dan sebagainya untuk menghasilkan babak berkenaan.
“Kami sanggup keluarkan kos sebanyak itu untuk babak berdurasi seminit setengah saja dalam filem kerana kita perlukan satu babak aksi ‘drift’ yang boleh menarik penonton ke pawagam,” katanya ketika ditemui di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Menyedari kekuatan media sosial, Idham menggunakan kaedah baharu iaitu mempromosikan filem dengan melakukan sesi siaran langsung babak belakang tabir filem itu di aplikasi TikTok.
Tambahnya, kaedah itu berjaya apabila ribuan peminat akan datang ke lokasi penggambaran bagi menyaksikan sendiri rakaman filem sekuel permotoran tersebut.
“Saya sendiri tidak menyangka rupanya ramai yang menunggu filem sekuel Impak Maksima ini.
“Saya juga terlupa yang menonton filem ini bukan saja dari generasi Impak Maksima yang ditayangkan pada 2007 tetapi menjangkau kepada drama bersiri Impak Maksima yang tular di TV3 hinggalah dibawa ke pentas teater di Istana Budaya,” katanya.
Ahmad Idham berkata, dia juga bersyukur kerana mendapat sokongan pihak polis kerana lokasi penggambaran filem itu juga tempat tarikan pelancong.
“Penggambaran filem ini berlangsung selama sebulan dan sudah selesai membabitkan lokasi sekitar Lembah Klang, Melaka dan Johor,” katanya.
Turut sama menjayakan filem itu ialah Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli, Fad Bocey dan ramai lagi.
Filem Impak Maksima 2 dijangka menemui penonton pada Julai. -UTUSAN