Rumah Pam Kampung Naran perkukuh sistem tebatan banjir

Rumah Pam Kampung Naran perkukuh sistem tebatan banjir

ZAIRIL Khir Johari (tengah) ketika merasmikan projek Rumah Pam Kampung Naran, di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Penduduk Kampung Naran dan kawasan sekitarnya kini menarik nafas lega apabila Projek Tebatan Banjir Sungai Tiram melibatkan pembinaan Rumah Pam Kampung Naran berjaya disiapkan mengikut jadual.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek berimpak tinggi bernilai RM9.48 juta itu dijangka dapat mengurangkan risiko banjir dan memberi perlindungan kepada lebih 600 penduduk serta kawasan komersial berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Katanya, projek itu sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan daya tahan kawasan berisiko banjir serta memperkukuh infrastruktur saliran.

“Dengan siapnya rumah pam ini, sistem tebatan banjir Sungai Tiram kini lebih cekap dalam mengawal aliran air, khususnya ketika hujan lebat.

“Ini adalah langkah penting mengurangkan kekerapan dan kesan banjir di kawasan Kampung Naran serta lokasi berhampiran,” katanya selepas merasmikan Rumah Pam Kampung Naran di sini, hari ini.

Projek itu dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, dengan Saznoor Industries Sdn. Bhd. dilantik sebagai kontraktor utama dan Jurutera Perunding ANR adalah perunding projek.

Menurut Zairil, projek yang dimulakan pada 16 Ogos 2021 itu telah disiapkan dalam tempoh 36 bulan tanpa sebarang lanjutan masa.

“Antara skop utama kerja termasuk pembinaan rumah pam dengan dua unit Screw Pump berkapasiti 4.0 meter padu per saat (m³/s), struktur floodwall sepanjang 560 meter, serta sistem perparitan Collector Drain sepanjang 1,060 meter.

“Selain itu, lapan unit struktur Outfall dan Flap Gate turut dibina, di samping peningkatan saluran dalam kawasan lapangan terbang kepada Pipe Culvert sepanjang 30 meter dan pembinaan jambatan Arch Bridge jenis L-Shape di CH1300,” katanya.

Tambah Zairil, projek itu direka untuk menampung aliran air bagi kejadian banjir yang dijangka berlaku setiap 10 tahun.

“Ini bukan sahaja membantu melindungi kediaman dan perniagaan, malah, mengurangkan impak terhadap infrastruktur awam seperti jalan raya dan kemudahan lain. Kita mahu memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dengan sistem tebatan banjir yang lebih baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya