Agak kerap juga kita mendengar dan membaca pandangan tentang rezeki sasterawan.
Memang secara keseluruhan para penulis sendiri menganggap bidang sastera bukannya bidang untuk memperoleh pendapatan lumayan.
Adakah anggapan ini benar

Sebenarnya, apa-apa pun bergantung pada usaha dan pengalaman sendiri. Penulis cadangkan agar kita bandingkan bidang ini dengan bidang politik. Penulis bertuah kerana mempunyai kawan-kawan yang bergiat dalam parti-parti politik yang berbeza-beza.
Dalam perbualan di tempat minum, jika penulis bersama-sama orang kuat parti Aksara (nama parti rekaan), penulis tidak menyampuk ketika dia mengkritik keras parti Barupa.
Demikian juga ketika penulis berbual-bual dengan tokoh parti Cendana.
Tokoh-tokoh parti A, parti B dan parti C (Aksara, Barupa dan Cendana) berjuang untuk menaikkan imej parti masing-masing.
Tiada seorang pun yang menganggap dan mengaku bahawa mereka mencari rezeki melalui bidang politik.
Dalam pilihan raya, apabila sejumlah tokoh parti A menang, tidak lama kemudian tokoh-tokoh itu berupaya tinggal di rumah mewah. Tokoh-tokoh parti B dan C juga, apabila menang pilihan raya, berupaya membeli kereta mewah.
Demikianlah, dalam keadaan tidak pernah mendakwa bahawa mereka mencari rezeki, rezeki tetap datang melalui jalan yang difahami mereka.
Di samping itu, bukan sedikit pula jumlah ahli ketiga-tiga parti itu yang tidak memperoleh rezeki melalui penglibatan mereka dalam politik.
Mereka inilah yang perlu memiliki “multiskill“ seperti yang disarankan oleh Datuk Dr. Lim Swee Tin.
Kemahiran politik hendaklah disertai kemahiran bertani atau berniaga, dan lain-lain.
Sekarang kita terus membicarakan bidang penghasilan karya sastera.
Pandangan Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, bahawa sejumlah penulis tidak berhasrat cari makan melalui penulisan, kita akui juga. Menurutnya, sedikit sahaja jumlah penulis yang menambahkan pendapatan melalui karya sastera.
Hasyuda Abadi pula mencadangkan Dewan Bahasa dan Pustaka atau penerbit lain, memasarkan karya-karya penulis secara cekap, dan hasilnya apabila buku laris penulis akan mendapat royalti yang banyak.
Seorang pemilik penerbitan yang berjaya memberitahu penulis, bahawa ada sasterawan yang memperoleh royalti jutaan ringgit setahun.
Nama sasterawan berkenaan tidak disebutkannya. Dalam tulisan Laupa Junus, nama Ramlee Awang Murshid diketengahkan sebagai penulis yang berjaya dalam hal ini. Namun, tiada keterangan untuk mengatakan bahawa Ramlee memperoleh rezeki terbanyak berbanding yang lain.
Kita memang mengagak bahawa rezekinya lumayan, namun kita tidak berupaya membuat perbandingan dengan mana-mana pengarang, kerana ketiadaan fakta yang tepat dan berwibawa.
Karya seseorang pengarang yang diminati, ditunggu-tunggu oleh pembaca.
Pengarang demikian itu dipercayai berupaya menghasilkan karya yang menarik. Ramlee Awang Murshid ialah salah seorang daripada mereka. Selain itu, pembaca juga ternanti- nanti novel Sri Diah. Novel Kuala Lumpur di Mana Suamiku, misalnya, dicetak hingga 11 kali.
Oleh sebab tema tulisan Laupa Junus ialah rezeki sasterawan, maka hal-hal yang wajar disebutkan termasuklah pemilihan buku teks sastera, dan juga karya-karya yang memenangi anugerah sastera.
Dalam hal pemilihan buku teks, tiada seorang penulis pun yang menghasilkan karya sastera untuk dijadikan teks di sekolah-sekolah.
Jika sesebuah novel terpilih jadi buku teks, sama ada untuk subjek sastera tulen, mahupun untuk komponen sastera dalam bahasa (KOMSAS), jumlah cetakan adalah besar.
Antara novel- novel yang berjaya dipilih ialah Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, Terminal Tiga karya Othman Puteh, Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah, 6.20 karya Siti Jasmina Ibrahim, dan banyak lagi. Oleh sebab jumlah cetakannya besar, mengikut jumlah pelajar, maka jumlah royalti untuk sesebuah novel adalah berpuluh-puluh ribu ringgit, malah menjangkau seratus ribu ringgit atau lebih.
Dalam subjek KOMSAS, ada dibuat pembahagian zon. Novel 6.20 memperoleh dua zon, iaitu timur dan utara. Oleh itu, jika royalti yang diterima oleh penulisnya 70 ribu ringgit untuk satu zon, maka perolehan itu tentulah berganda.
Sesebuah karya seperti puisi, atau cerpen, atau skrip drama yang terpilih jadi teks secara eceran, akan membolehkan pengarangnya mendapat kira-kira RM10,000.
Di Malaysia, terdapat anugerah sastera. Ada anugerah daripada syarikat-syarikat tertentu, ada anugerah daripada negeri-negeri, dan ada anugerah daripada negara. Selain itu, ada juga persatuan yang menyediakan anugerah untuk penulis.
Hal anugerah ini, sama jugalah dengan pemilihan teks sekolah, iaitu penulis tidak mengharapkannya. Baik Kris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang dan lain-lain, semuanya menghasilkan karya sastera kerana minat, dan juga sebagai sumbangan kepada pembaca.
Mereka menjadi penerima Anugerah Sastera Negara setelah karya-karya mereka dinilai oleh jawatankuasa penilai.
Kesimpulannya, hadiah dan anugerah sastera juga adalah rezeki yang tidak pernah diramalkan oleh pengarang ketika menghasilkan karya sastera.
DATUK DR. RAHMAN SHAARI ialah Sasterawan Negara ke-15








