Remaja OKU cabul kanak-kanak di masjid tukar pengakuan

Remaja OKU cabul kanak-kanak di masjid tukar pengakuan

MUHAMAD Adam Haiqal Abdullah telah menukar pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam prosiding di Mahkamah Ampang di sini hari ini. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang tular mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid, akhir Februari lalu menukar pengakuan bersalahnya kepada tidak bersalah pada sebutan kes itu Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk jatuh hukum berikutan pada 27 Februari lalu,tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19,  mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Hakim Norshila Kamarudin memerintahkan agar pertuduhan dibacakan semula dan pengakuan tidak bersalah itu direkodkan.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun 8 bulan pada 21 Februari lalu, pukul 6.20 pagi di Masjid Sungai Masin, Kampung Sungai Masin, Batang Kali.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi serahan dokumen, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Lingswaran Singh memaklumkan akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan.

Mahkamah bagaimanapun menyatakan representasi hanya boleh dilakukan selepas serahan dokumen pada 29 April ini.

Pada prosiding lalu, pendakwaan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh memaklumkan tiada waris hadir untuk membuat jaminan kerana tidak mampu.

Susulan tiada jaminan dibuat, tertuduh yang juga penganggur ditahan dan dihantar ke Pusat Koreksional Puncak Alam.

Pada 22 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis sudah menahan suspek lelaki yang cuba mencabul seorang budak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 19 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.

Terdahulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat mengesahkan lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali dekat sini memiliki kad OKU masalah pembelajaran.

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, hasil pemeriksaan dan semakan dijalankan mendapati individu terbabit memang mempunyai kad OKU sejak kecil lagi.

“Hasil pemeriksaan kita dapati dia (suspek) memang mempunyai kad OKU Learning Disability (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN