PRN Sabah dibayangi skandal rasuah?

PRN Sabah dibayangi skandal rasuah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan video berkaitan rasuah yang didakwa melibatkan wakil rakyat di Sabah berpotensi mencetuskan krisis legitimasi politik dan moral menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 kelak.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, walaupun isu tempatan seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan infrastruktur sering menjadi tumpuan dalam pilihan raya, PRN Sabah kali ini dijangka turut dibayangi oleh skandal rasuah.

Menurutnya, pemimpin Sabah perlu segera menangani isu berkenaan bagi mengelakkan krisis yang lebih besar.

“Isu rasuah dan moral akan menjadi semakin hangat menjelang PRN nanti. Persoalannya, adakah lebih banyak video seumpama ini akan muncul?

“Namun, keadaan juga boleh menjadi sebaliknya jika pendedahan tersebut mencetuskan simpati kepada pihak yang terlibat. Soalnya, sejauh mana individu yang terkesan mampu menukar situasi ini menjadi kelebihan kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kestabilan politik di Sabah perlu dikekalkan bagi memastikan tumpuan dapat diberikan kepada pembangunan negara.

Mengenai percaturan politik akan datang, beliau berkata, situasi akan lebih jelas selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Buat masa ini, setiap parti masih meneliti bentuk kerjasama yang akan dibentuk dalam gabungan besar, khususnya melibatkan soal agihan kerusi.

“Sebagai contoh, jika Warisan ingin bertanding secara solo, mereka boleh bertanding di semua kerusi. Tetapi jika bergabung, ia memerlukan kompromi dan pengorbanan. Sementara itu, parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pula menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan parti berteraskan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu membuat keputusan sama ada untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) atau memilih gabungan lain.

“Percaturan politik juga akan dipengaruhi oleh figura utama dalam politik Sabah, yang berperanan menentukan bentuk kerjasama yang bakal terbentuk. Selain itu, faktor utama seperti strategi kempen dan agihan kerusi juga akan menjadi penentu utama dalam PRN ini,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, isu-isu tempatan masih menjadi faktor utama dalam PRN Sabah, yang dijangka diadakan pada bulan Julai atau hujung tahun ini.

“Di Kota Kinabalu, mungkin isu utama adalah tadbir urus, manakala di Semporna pula tumpuan diberikan kepada pembangunan asas. Ini menunjukkan setiap kawasan mempunyai keutamaan berbeza bergantung kepada demografi setempat,” katanya.

Mengenai masalah bekalan air di Sabah, beliau menjelaskan ia tidak melibatkan 60 peratus kawasan negeri itu, sebaliknya sekitar 15 hingga 20 peratus sahaja, bergantung kepada faktor geografi.

“Keadaan di Sabah berbeza dengan negeri lain seperti Perlis, Kelantan, atau Melaka. Malah, Kelantan yang jauh lebih kecil daripada Sabah masih berdepan dengan krisis bekalan air yang kritikal,” katanya.

Ditanya mengenai kesan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau berpandangan isu tersebut tidak memberi impak kepada rakyat Sabah secara keseluruhan.

“MA63 lebih banyak dibincangkan di peringkat kepemimpinan tertinggi, sedangkan rakyat masih berdepan dengan isu utama seperti peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN