PETALING JAYA: Polis menembak mati tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan samun warga asing yang aktif di sekitar Lembah Klang pagi tadi yang sekali gus menyelesaikan sekurang-kurangnya 21 kes dengan anggaran kerugian keseluruhan RM1 juta.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi di kawasan Bukit Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi itu, sepasukan polis yang sedang melakukan pemantauan terserempak dengan tiga suspek yang bersenjatakan parang.
Katanya, ketiga-tiga suspek berpakaian gelap dan memakai topeng sebelum bertindak agresif dengan menyerang pihak polis, memaksa anggota keselamatan melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek yang berusia antara 35 dan 40 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan dipercayai bukan warganegara.
“Kumpulan itu dipercayai terlibat dalam puluhan kes samun rumah di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Dengan tertumpasnya mereka, sebanyak 21 kes berjaya diselesaikan dengan jumlah kerugian mencecah RM1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun. – UTUSAN