Polis tahan lelaki larikan kenderaan bersama anak istimewa

Polis tahan lelaki larikan kenderaan bersama anak istimewa

HAMZAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis berjaya menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak istimewa berusia lima tahun di Masjid Kampung Kampung Banggol, Pokok Sena, Tasek Gelugor, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak lelaki terbabit dipercayai meninggalkan kenderaan jenis Honda BR-V dalam keadaan enjin yang masih hidup di kawasan tempat letak kenderaan di masjid berkenaan.

Katanya, pengadu dikatakan keluar sebentar untuk memujuk anak perempuannya yang berusia setahun sebelum seorang individu yang tidak dikenali mengambil kesempatan untuk melarikan kenderaan tersebut.

“Pengadu yang berusia 41 tahun itu dikatakan cuba untuk mengejar kenderaan itu, namun, gagal.

“Bagaimanapun, kenderaan terbabit akhirnya berjaya dikesan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di laluan PLUS (Projek Lebuhraya Utara-Selatan) di Perak yang menghala ke selatan.

“Ketika ditemui, suspek sedang tidur dalam kenderaan terbabit dengan enjin yang masih hidup. Malah, dia cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaannya sehingga melanggar kenderaan polis yang berada di belakangnya,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, suspek cuba melawan ketika ditahan, namun, berjaya ditahan manakala kanak-kanak terbabit pula berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, suspek berusia 36 tahun dan memiliki sepuluh rekod lampau berkaitan dadah termasuk dua kes dikehendaki polis serta lima kes jenayah lain.

“Suspek kini direman selama empat hari iaitu sehingga 3 April ini untuk siasatan lanjut dan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

Tambah Hamzah, orang ramai dinasihati supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan tanpa pengawasan, khususnya apabila enjin masih hidup.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya