ALOR GAJAH : Seorang anggota polis pengiring kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd. Ali Mohd Rustam, cedera selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Bulatan Seri Bayan, Durian Tunggal, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa, Sarjan Mohd Tarmizi Manap, 50, yang bertugas di Cawangan Pengiring Trafik TYT Melaka sedang menjalankan tugas mengiringi konvoi dari Durian Tunggal ke Lapangan Terbang Batu Berendam sebelum motosikal Kawasaki 1400GTR yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Proton S70.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati pemandu Proton S70, yang berusia 51 tahun, secara tiba-tiba mengubah laluan dari kiri bulatan ke kanan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa. Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa hilang kawalan lalu melanggar sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.
“Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami luka di bahagian kaki serta tangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mangsa dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan, manakala kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
Sementara itu, insiden tersebut turut menarik perhatian Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam yang berada di lokasi kejadian. Beliau keluar dari kenderaannya untuk melihat keadaan mangsa sebelum meneruskan perjalanan.
Tiga kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi siasatan susulan. – UTUSAN