KUALA TERENGGANU: Jabatan Perdana Menteri memperhebat usaha advokasi dan pendidikan mengenai keharmonian kaum di negara ini dengan penglibatan semua pihak untuk memastikan perpaduan yang dikecapi ketika ini terus dinikmati rakyat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pada dasarnya tahap perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini masih berada di tahap yang baik dan memuaskan.
Katanya, dalam kehidupan dunia realiti, rakyat sangat bertoleransi dalam urusan harian mereka tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.
“Bila berurusan tak kira orang Melayu, Cina, India atau bangsa lain semuanya berkomunikasi dengan baik namun, sebaliknya berlaku dalam media sosial apabila isu ini menjadi hangat.
“Jadi itu adalah cabaran untuk kita lihat dalam dunia digital (media sosial). Ini yang akan kita gerakkan lebih kuat di peringkat kementerian, jabatan, agensi dan semua institusi terlibat agar keharmonian kaum terus terjaga dengan baik,” katanya selepas merasmikan Multaqa Imam dan Guru Takmir Terengganu yang dihadiri kira-kira 200 peserta di Hospital Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi kes-kes tertentu yang melibatkan elemen jenayah dan pelanggaran undang-undang, ia diselesaikan mengikut saluran sedia ada dengan tindakan pihak berkuasa. – UTUSAN