Perdana Menteri sasar 500 sekolah angkat diwujudkan di seluruh negara

Perdana Menteri sasar 500 sekolah angkat diwujudkan di seluruh negara

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan sasaran untuk mewujudkan 500 sekolah angkat di seluruh negara.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ditegaskan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri menegaskan bahawa angka sasaran sekolah angkat ialah sekitar 500 buah sekolah.

“Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa 20 sekolah telah diambil sebagai sekolah angkat oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB).

“Segala usaha ini akan diselaras oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Sekiranya ada mana-mana syarikat swasta yang berhasrat untuk menjadikan sekolah sebagai sekolah angkat, maka boleh berhubung dengan KPM. 

“Maklumat yang lebih terperinci tentang mekanisme (sekolah angkat), boleh berhubung dengan KPM,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri menyarankan supaya syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan inisiatif sekolah angkat bagi membantu membangunkan sekolah-sekolah di seluruh negara.

Menurutnya, inisiatif itu penting bagi menyelesaikan pelbagai masalah penyediaan infrastruktur di institusi berkenaan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menyelaras perkara berkenaan bersama KPM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN